KUALA LUMPUR – Permohonan kemasukan pelajar Sesi I: 2026/2027 ke program Sijil dan Diploma di 36 buah Politeknik dan 106 buah Kolej Komuniti (KK) telah dibuka.
Permohonan melalui eBorang MyPOLYCC ini boleh dibuat mulai 27 Februari 2026 (5 petang) hingga 27 Mac 2026 (5 petang) secara dalam talian menerusi pautan https://ambilan.mypolycc.edu.my.
Tawaran ini terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 ke bawah, lulusan Sijil Politeknik, lulusan Sijil Kolej Komuniti, lulusan Sijil Vokasional Malaysia (Kolej Vokasional), lulusan sijil Institut Kemahiran Tinggi PERDA, lulusan sijil Institut Kemahiran MARA, lulusan sijil Institut Pertanian Malaysia dan Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 3).
Manakala kategori baharu turut diperluaskan kepada lulusan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) berkata, permohonan turut dipanjangkan kepada murid yang tamat pengajian tingkatan lima, sekolah pendidikan khas bagi kemasukan ke 12 program Sijil Khas Kemahiran bagi kumpulan murid Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditawarkan di lima buah politeknik dan 12 buah kolej komuniti.
Namun demikian, pelawaan ini terhad kepada kumpulan murid kategori masalah pendengaran dan masalah pembelajaran.
Selain itu, pemilik sijil APEL turut dipelawa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sijil dan diploma.
Sebanyak 33,000 tempat disediakan dalam pelbagai bidang pengajian bagi sesi I: 2026/2027 dengan tarikh pendaftaran pelajar baharu bermula 14 Jun 2026 bagi program asasi ambilan sesi I: 2026/2027, manakala 21 Jun 2026 bagi program diploma, sijil dan sijil hhas kemahiran.
JPPKK turut memaklumkan, berkuat kuasa mulai Sesi I: 2026/2027, terdapat pindaan nama program seperti berikut:
1. Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi).
2. Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan Automasi).
3. Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Plastik) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Plastik Perindustrian).
4. Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan Perindustrian).
5. Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji Kuasa).
6. Diploma Kejuruteraan Elektronik (Optoelektronik) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik.
Bagi memperkasakan program pengajian, jabatan ini turut memperkenalkan Program Eksklusif NAVALTech@PSA melalui kerjasama antara Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Inisiatif di bawahNota Kerjasama (MoU) yang dimeterai pada 20 Mei 2025 antara JPPKK dan TLDM ini bertujuan membekalkan tenaga kerja teknikal yang berkemahiran serta berdisiplin tinggi.
Pihak TLDM mensasarkan pengambilan seramai 200 orang calon setahun bagi Skim Diploma Tugas Khusus (DTK) TLDM iaitu lantikan ke skim juruteknik TLDM.
Program NavalTech@PSA ditawarkan melalui empat program pengajian di PSA iaitu:
• Diploma Kejuruteraan Mekanikal
• Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan Industri)
• Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi)
• Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan)
Untuk sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan ini, sila ajukan kepada Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, JPPKK seperti alamat berikut:-
BAHAGIAN AMBILAN DAN PEMBANGUNAN PELAJAR,
JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK DAN KOLEJ
KOMUNITI, KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI,
ARAS 6, GALERIA PJH, JALAN P4W, PERSIARAN
PERDANA, 62100 PUTRAJAYA, WILAYAH PERSEKUTUAN
PUTRAJAYA.
No. Tel : 03 – 8888 3837
No. Whatsapp : 03 – 8888 5625
E-mel : [email protected]
Facebook : polyccofficial
Instagram : polyccofficial
X : polyccofficial
Threads : polyccofficial
– MalaysiaGazette
















