KUALA LUMPUR – Polis sedang giat memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam cubaan meragut rantai leher seorang wanita di hadapan sebuah kedai runcit, di Bukit Beruntung, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang duduk sambil bercakap menggunakan telefon di hadapan kedai terbabit.
Tiba-tiba rantai leher dipakainya diragut dari arah belakang oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar dan jaket hitam.
“Suspek menarik tali berwarna kuning yang mempunyai tiga loket keemasan sehingga terputus dan terjatuh ke lantai.
“Lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna hitam yang ditunggang seorang lagi suspek,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, nombor pendaftaran motosikal serta arah suspek melarikan diri tidak dapat dipastikan.
Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan atau kerugian dalam kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















