JAKARTA, 1 Mac (Bernama) — Garuda Indonesia menangguhkan sementara penerbangan ke dan dari Doha, Qatar berkuat kuasa Sabtu (28 Feb) sehingga diberitahu kelak, susulan penutupan sementara ruang udara Qatar di tengah-tengah perkembangan yang semakin meruncing di Timur Tengah.
Syarikat penerbangan itu berkata langkah tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga dengan keselamatan dan perlindungan penumpang serta kru menjadi keutamaan syarikat.
Ia berkata semua laluan antarabangsa lain terus beroperasi seperti dijadualkan dan tidak melalui ruang udara yang terjejas.
“Garuda Indonesia akan terus memantau situasi dengan teliti dan berkoordinasi dengan pihak berkuasa penerbangan berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Syarikat penerbangan menasihati penumpang yang terjejas supaya kerap menyemak status penerbangan mereka.
Sementara itu, PT Angkasa Pura Indonesia (InJourney Airports) melalui pejabat cawangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta mengesahkan beberapa penerbangan berlepas dan tiba antara Indonesia dan Timur Tengah telah dibatalkan dan ditunda.
Pemangku Penolong Timbalan Komunikasi dan Undang-undang, Aziz Fahmi Harahap berkata pihak lapangan terbang telah menyediakan pengendalian bagi penumpang yang terjejas mengikut prosedur yang berkuat kuasa.
Ini, katanya termasuk proses pembatalan dokumen perjalanan di kawasan imigresen serta koordinasi dengan syarikat penerbangan masing-masing untuk penginapan dan penyusunan semula penerbangan.
“Secara keseluruhan, situasi di terminal tetap selamat dan kondusif,” katanya menurut Agensi Berita ANTARA pada Ahad.
Aziz berkata operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta terutamanya bagi laluan antarabangsa lain terus berjalan dengan selamat dan lancar.
Beliau menambah bahawa penyelarasan sedang dijalankan dengan syarikat penerbangan, pihak berkuasa lapangan terbang dan agensi berkaitan untuk menangani sebarang perubahan operasi serta memastikan piawaian keselamatan, perlindungan dan perkhidmatan dikekalkan.
InJourney Airports menasihati penumpang yang menuju destinasi Timur Tengah supaya memantau maklumat penerbangan melalui saluran komunikasi rasmi syarikat penerbangan atau menghubungi pusat khidmat pelanggan masing-masing untuk kemas kini status berlepas.
— BERNAMA















