SEJAK awal Ramadan, gangguan berulang perkhidmatan rel Bandar khususnya LRT Kelana Jaya Line bukan lagi isu teknikal biasa. Ia telah menjadi krisis mobiliti bandar yang memberi kesan langsung kepada ribuan pekerja khususnya golongan B40 dan kelas pertengahan yang bergantung sepenuhnya kepada sistem rel ini untuk mencari rezeki.
Saya menulis ini bukan sebagai pemerhati luar. Saya adalah salah seorang pengguna yang terkesan.
Isu struktur bukan sekadar kerosakan sementara
Gangguan yang berlarutan menimbulkan persoalan besar tentang tahap pengurusan dan kebertanggungjawaban.
Adakah penyelenggaraan dilakukan secara menyeluruh dan berkala?
Adakah sistem benar benar bersedia menghadapi kegagalan teknikal?
Adakah komunikasi kepada pengguna dibuat secara telus dan tepat pada masanya?
Pengangkutan awam adalah infrastruktur kritikal negara. Ia bukan kemudahan pilihan. Apabila sistem rel utama tergendala secara berulang, implikasinya melangkaui kelewatan individu dan memberi kesan sistemik kepada ekonomi bandar.
Dalam sidang Parlimen, Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan telah menjawab soalan berkaitan kekerapan tren dan tahap perkhidmatan rel bandar. Jawapan tersebut direkodkan secara rasmi dalam Hansard oleh Dewan Rakyat.
Hansard adalah rekod rasmi negara dan menjadi rujukan awam. Namun pengalaman pengguna di platform kelihatan tidak selari dengan gambaran yang diberikan. Jika kekerapan tren berada pada tahap yang memuaskan seperti yang dinyatakan, mengapa pengguna masih menunggu jauh lebih lama daripada tempoh tersebut. Jika kadar kebolehpercayaan sistem tinggi, mengapa gangguan berulang terus berlaku dalam tempoh singkat.
Maklumat yang dijawab oleh Menteri sudah tentu diperoleh daripada pihak operator iaitu Prasarana Malaysia Berhad. Maka persoalan yang timbul ialah sama ada data yang dibekalkan benar benar mencerminkan realiti di lapangan.
Apabila jawapan telah direkodkan dalam Hansard, ia menjadi fakta rasmi. Jika terdapat jurang antara rekod rasmi dan pengalaman harian rakyat, perkara itu wajar diperjelaskan secara terbuka demi memelihara integriti institusi dan keyakinan awam.
Keperluan campur tangan kerajaan
Isu ini tidak boleh dibiarkan semata mata kepada pengurusan dalaman operator. Campur tangan kerajaan adalah penting kerana ia melibatkan kelangsungan hidup rakyat yang bergantung sepenuhnya kepada sistem ini untuk bekerja dan menyara keluarga.
Pengangkutan awam bukan projek komersial biasa. Ia perkhidmatan asas. Maka kerajaan perlu memastikan wujud pemantauan yang ketat, garis masa penyelesaian yang jelas dan komunikasi yang telus kepada rakyat.
Persoalan yang lebih mendesak ialah apakah solusi konkrit yang sedang dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi Prasarana. Adakah pelan pemulihan menyeluruh sedang dijalankan. Adakah audit teknikal bebas telah dimulakan. Atau adakah keadaan ini sekadar ditangani secara sementara tanpa pembaikan struktur jangka panjang.
Lebih penting, adakah kepimpinan tertinggi benar-benar memahami pengalaman pengguna. Pernahkah mereka sendiri menggunakan LRT pada waktu puncak untuk merasai kesesakan, ketidakpastian dan tekanan yang dihadapi pekerja setiap hari. Empati lahir daripada pengalaman sebenar, bukan sekadar laporan di atas kertas.
Jika pengurusan hanya berdiam diri dan membiarkan pekerja berhadapan dengan masalah ini saban hari, maka krisis ini bukan lagi soal teknikal. Ia menjadi soal kepimpinan.
Kesan kepada rakyat pada bulan Ramadan
Tekanan kos sara hidup meningkat apabila pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan e hailing secara tiba tiba. Masa produktif hilang apabila perjalanan menjadi dua kali ganda lebih lama. Tekanan mental dan fizikal meningkat khususnya dalam bulan Ramadan apabila tenaga lebih terhad.
Dalam skala besar, kehilangan masa ini menjejaskan produktiviti negara. Ribuan jam kerja hilang setiap minggu. Operasi perniagaan terganggu. Kesesakan jalan raya bertambah apabila lebih ramai beralih kepada kenderaan persendirian.
Malaysia tidak boleh bercakap tentang daya saing ekonomi dan bandar mampan sekiranya sistem mobiliti asas masih rapuh.
Cadangan dasar dan reformasi
Audit teknikal bebas perlu dijalankan terhadap sistem LRT Kelana Jaya Line dan laporan tersebut dibentangkan kepada umum. Pelan penyelenggaraan lengkap dengan garis masa dan petunjuk prestasi perlu diumumkan supaya boleh dipantau secara terbuka.
Mekanisme pampasan kepada pengguna wajar dipertimbangkan sekiranya gangguan melebihi tempoh tertentu.
Kerajaan perlu memainkan peranan aktif memastikan operator benar benar melaksanakan pembaikan struktur dan bukan sekadar pengurusan krisis jangka pendek.
Ini soal keadilan sosial dan integriti institusi
Golongan berpendapatan tinggi mungkin mempunyai alternatif. Namun bagi majoriti pekerja bandar, LRT adalah satu satunya pilihan realistik.
Apabila sistem ini gagal, yang paling terkesan adalah mereka yang paling kurang pilihan.
Kita tidak boleh menormalisasikan gangguan.
Kita juga tidak boleh menormalisasikan percanggahan antara jawapan rasmi di Parlimen dan realiti di lapangan.
Di hujung platform yang sesak itu bukan sekadar tren yang lewat tetapi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan institusi negara yang sedang diuji.
NoorSuhana Ishak
















