Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Pelaburan, Perdagangan Industri, Datuk Seri Johari Ghani hadir Majlis Sentuhan Ramadan Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk di Madrasah Rajaiyah @Surau Jawa, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 MAC 2026

KUALA LUMPUR – Seramai 200 orang sukarelawan belia bersama badan-badan gabungan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) berganding bahu memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat di Kampung Bharu di sini.

Program anjuran Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) itu membuktikan anak muda dengan latar yang berbeza namun bersatu dalam satu tujuan  yang menunjukkan wajah sebenar belia Malaysia.

Presidennya, Khairul Rizam Abu Samah berkata, lebih bermakna, MBWP turut menyampaikan sumbangan cermin mata kepada 30 orang remaja sekolah berusia antara 15 hingga 17 tahun di sekitar Parlimen Titiwangsa.

Katanya, mungkin bagi sesetengah pihak ia hanyalah sepasang cermin mata namun bagi mereka ia adalah jendela baharu untuk melihat masa depan lebih jelas agar dapat membaca dengan lebih yakin dan fokus serta mengejar cita-cita tanpa batasan penglihatan.

“Hari ini juga kita menganjurkan tadarus Ramadan yang disertai oleh 50 orang belia. Inilah keseimbangan yang kita dambakan.

“Belia yang aktif berbakti kepada masyarakat dan pada masa yang sama akrab dengan Al-Quran serta nilai-nilai murni. Jiwa yang kuat lahir daripada rohani yang terisi dan dipandu wahyu.

“Pada kesempatan ini juga, kita melancarkan inisiatif Rakan Muda Rakan Masjid. Satu gerakan untuk menghidupkan semula fungsi masjid sebagai pusat pembangunan belia.

“Kita mahu anak muda merasakan bahawa masjid adalah ruang mereka. Tempat mereka belajar, berdiskusi, merancang masa depan dan membina ukhuwah. Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat penyatuan ummah dan pembinaan kepimpinan generasi masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sentuhan Ramadan Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk di Madrasah Rajaiyah @Surau Jawa, Kampung Bharu di hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Khairul Rizam turut menyentuh beberapa isu yang menyentuh sensitiviti agama termasuk insiden yang melibatkan penghinaan terhadap Al-Quran.

Sebagai umat Islam, pastinya hati kita tersentuh namun dalam menghadapi situasi sedemikian, mereka dituntut untuk menunjukkan kematangan, kebijaksanaan dan ketenangan.

“Ramadan mendidik kita tentang sabar dan hikmah. Kita tidak mahu emosi mengatasi rasional, dan kita tidak mahu tindakan segelintir pihak merosakkan keharmonian yang telah lama kita bina bersama.

“Negara ini terbina atas asas saling menghormati dan toleransi. Apa jua cabaran, kita hadapi dengan hikmah, berlandaskan undang-undang serta semangat perpaduan.

“Belia hari ini mesti menjadi jambatan, bukan jurang. Menjadi penyatu, bukan pemecah. Dengan dialog, kefahaman dan rasa hormat antara kaum serta agama, kita yakin keharmonian negara dapat terus dipertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast