TEHRAN – Agensi berita Iran, Tasnim dan Mehr, menafikan laporan mengenai berita kematian Ayatollah Ali Khamenei dan menegaskan pemimpin tertinggi negara itu “teguh dan kekal kukuh dalam memimpin medan perang”.

Sebagai tindak balas kepada dakwaan Presiden Donald Trump, Ketua Perhubungan Awam pejabat Khamenei menuduh musuh negara sedang melancarkan “perang psikologi”.

“Musuh sedang menggunakan perang psikologi, semua pihak perlu sedar,” kata pegawai perhubungan awam itu menurut media rasmi Iran.

Terdahulu, dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump mendakwa Khamenei telah terbunuh dan kematiannya memberikan keadilan bukan sahaja “untuk rakyat Iran, tetapi untuk semua rakyat Amerika yang hebat”.

“Beliau [Khamenei] tidak mampu mengelak daripada Sistem Perisikan dan Penjejakan Canggih kami, dan dengan kerjasama rapat bersama Israel, tiada apa yang beliau atau pemimpin lain yang terbunuh bersamanya mampu lakukan.

“Ini adalah peluang terbesar bagi rakyat Iran untuk mengambil semula negara mereka,” kata Trump.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini mendakwa terdapat “banyak petanda” bahawa Khamenei telah terbunuh.

Media Middle East Eye pula melaporkan, ia tidak dapat mengesahkan dakwaan Trump secara bebas dan Presiden AS itu tidak mengemukakan sebarang bukti mengenai pembunuhan tersebut.

AlJazeera turut memetik laporan yang menafikan kematian  Pemimpin Tertinggi Iran itu.

Kenyataan Trump itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyatakan Khamenei masih hidup “setakat yang saya tahu.”

“Hampir semua pegawai selamat dan masih hidup. Mungkin kita kehilangan satu atau dua komander, tetapi itu bukan masalah besar,” katanya kepada NBC News.

Serangan pada hari Sabtu ke atas Iran menyasarkan 24 wilayah, mengakibatkan sekurang-kurangnya 201 orang maut, menurut laporan media Iran yang memetik Bulan Sabit Merah.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan gelombang serangan balas, menyasarkan aset ketenteraan Israel dan Amerika Syarikat di seluruh Timur Tengah. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast