BAITULMAQIS – Presiden Donald Trump mendakwa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, terkorban selepas Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan besar-besaran untuk menjatuhkan Republik Islam itu.
Sorakan kedengaran di jalan-jalan Tehran susulan laporan kematian Khamenei, pemimpin tertinggi Iran sejak 1989, ketika kepulan asap hitam kelihatan berlegar di kawasan Pasteur tempat beliau biasanya menetap, menurut saksi kepada AFP.
“Khamenei, antara individu paling jahat dalam sejarah, telah mati,” kata Trump di rangkaian Truth Social miliknya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum itu berkata, terdapat “banyak petunjuk bahawa Khamenei tidak lagi hidup”.
Berucap kepada rakyat Iran, yang menjadi musuh utama Israel dan Amerika Syarikat sejak Revolusi Islam 1979, Netanyahu berkata: “Inilah masa anda untuk bergabung tenaga, menjatuhkan rejim dan menjamin masa depan anda”.
Serangan tersebut mendorong Tehran melancarkan bedilan peluru berpandu ke seluruh Asia Barat, dengan kecederaan dan sekurang-kurangnya satu kematian dilaporkan akibat letupan yang menggegarkan bandar-bandar utama di negara-negara Teluk Arab.
Pihak berkuasa Iran menggesa penduduk meninggalkan ibu negara, sebuah yang mempunyai 10 juta orang penduduk, manakala Persatuan Bulan Sabit Merah Iran berkata, sekurang-kurangnya 201 orang terbunuh dan lebih 700 cedera akibat serangan itu.
Badan kehakiman Iran berkata, satu serangan terkena sebuah sekolah di selatan negara itu mengorbankan 108 orang, namun AFP tidak dapat mengakses lokasi kejadian untuk mengesahkan jumlah korban atau keadaan sebenar insiden.
Emiriah Arab Bersatu melaporkan seorang orang awam terbunuh serta kerosakan akibat peluru berpandu di Dubai dan Abu Dhabi, manakala letupan daripada serangan balas Tehran dan sistem pertahanan udara yang memintasnya turut bergema di Israel, Arab Saudi, Bahrain, Qatar, Jordan dan Kuwait.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, sebelum ini memberitahu NBC News “setahu saya” Khamenei masih hidup, sambil menambah “semua pegawai kanan juga masih hidup”.
Ditanya mengenai keadaan Khamenei, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baqaei, memberitahu BBC beliau “tidak berada dalam kedudukan untuk mengesahkan apa-apa”, namun menegaskan “seluruh sistem dan seluruh negara kini tertumpu kepada mempertahankan kedaulatan nasional”.
Pertempuran yang dijangka masih jauh daripada berakhir, Netanyahu berkata, “ribuan” sasaran akan diserang dalam beberapa hari akan datang, manakala pegawai keselamatan tertinggi Iran berikrar akan melakukan pembalasan hebat.
Tentera Israel berkata, Ali Shamkhani, penasihat kepada Khamenei, serta Ketua Kor Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Mohammad Pakpour, kedua-duanya terbunuh.
Ali Larijani, ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, berkata: “Para perajurit berani dan bangsa besar Iran akan mengajar penindas antarabangsa satu pengajaran yang tidak akan dilupakan.”
Penduduk Tehran pada mulanya menjalani urusan harian seperti biasa ketika serangan bermula.
Pasukan keselamatan segera membanjiri jalan-jalan, kedai menutup pintu dan hanya segelintir pejalan kaki berani keluar, menurut wartawan AFP.
“Saya melihat dengan mata sendiri dua peluru berpandu Tomahawk terbang secara mendatar ke arah sasaran,” kata seorang pekerja pejabat di Tehran sebelum komunikasi dan akses internet diputuskan.
Bulan Sabit Merah berkata, 24 daripada 31 wilayah Iran terjejas akibat serangan itu.
Di seluruh Israel, jalan-jalan bandar lengang ketika penduduk berlindung di tempat perlindungan, sementara bunyi letupan peluru berpandu Iran yang dipintas bergema di udara. Perkhidmatan kecemasan melaporkan dua orang cedera.
Kor Pengawal Revolusi Iran pula memaklumkan kepada kapal-kapal bahawa Selat Hormuz, laluan perairan strategik, ditutup, menurut misi tentera laut Kesatuan Eropah dan media Iran.
Serangan berlaku selepas Trump meluahkan kekecewaan terhadap pendirian Iran dalam rundingan mengenai program nuklear dan peluru berpandunya.
Dalam ucapan video terdahulu, Trump memberitahu rakyat Iran bahawa “saat kebebasan anda telah tiba”, menggesa mereka bangkit dan “mengambil alih kerajaan anda”.
Ia merupakan tindakan ketenteraan AS berskala besar pertama yang jelas bertujuan menjatuhkan kerajaan asing sejak pencerobohan Iraq pada 2003.
Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, berkata, operasi itu “berlaku pada skala yang sama sekali berbeza” berbanding perang 12 hari menentang Iran pada Jun lalu, yang turut disertai AS secara singkat.
Kenyataan ketenteraan menyifatkan operasi itu sebagai “serangan besar-besaran”, dan menyatakan ia merupakan “serangan udara terbesar dalam sejarah Tentera Udara Israel”.
Kor Pengawal Revolusi Iran berkata, “peluru berpandu dan dron kami telah mengenai ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain serta pangkalan-pangkalan Amerika lain di Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, selain pusat ketenteraan dan keselamatan di jantung wilayah diduduki (Israel)”.
Iran, Iraq, Kuwait, Syria, Emiriah Arab Bersatu dan Israel menutup ruang udara masing-masing kepada penerbangan awam, sekurang-kurangnya sebahagiannya, manakala banyak syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Asia Barat. – Agensi
















