SEPANG – Cubaan menyeludup empat ekor siamang ke luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya digagalkan dalam satu operasi lewat malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, seorang wanita tempatan berusia 38 tahun ditahan kira-kira jam 10.50 malam selepas pemeriksaan terhadap bagasi mencurigakan di KLIA Terminal 1.

Menurut beliau, suspek dijadual menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tiruchirapally, India sebelum anggota PERHILITAN bersama pasukan keselamatan lapangan terbang (AVSEC) menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat ekor primat disyaki siamang disorokkan di dalam bekas kecil yang diletakkan dalam bagasi berkenaan.

“Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke pejabat Perhilitan KLIA untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Operasi bersepadu itu diketuai Pegawai Penguat Kuasa Safardin Amin Ahmad bersama dua anggota Perhilitan dan tiga anggota AVSEC.

Abdul Kadir berkata, satu laporan polis dibuat di Balai Polis KLIA 2 bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Tegasnya, siamang adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan sebarang aktiviti menangkap, memiliki, menjual atau mengeksport tanpa permit sah merupakan kesalahan serius yang boleh membawa denda tinggi serta hukuman penjara jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast