Gambar hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) sebulat suara menyeru semua pihak menghentikan polemik dan provokasi berkaitan isu agama, serta tidak menyentuh perkara sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Jawatankuasa yang menghimpunkan para ilmuwan dan wakil agama daripada Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao dan Baha’i itu berkata, isu-isu tersebut tidak wajar dimainkan atau dimanipulasi kerana hanya mengundang ketegangan dan merosakkan keharmonian negara.

“Kami menegaskan pendirian yang keras dan tidak berkompromi
terhadap sebarang bentuk provokasi, pelecehan, penghinaan atau
perbuatan mempermainkan agama oleh mana-mana pihak.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan kebencian dan prasangka, malah berpotensi menggugat perpaduan serta kestabilan negara,” kata JK Harmoni menerusi kenyataan.

Katanya lagi, jawatankuasa tersebut menyokong tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap individu atau pihak yang melakukan provokasi agama.

“Jangan sesekali menggadaikan keamanan yang kita kecapi hanya kerana emosi, salah faham atau perbezaan pandangan yang sepatutnya diselesaikan secara matang, berhemah dan berlandaskan undang undang,” tambahnya.

Sehubungan itu, JK Harmoni menyeru semua pihak untuk kembali ke meja rundingan dan perbincangan.

Jelasnua, setiap isu mempunyai jalan penyelesaian sekiranya ditangani dengan hikmah dan rasa tanggungjawab.

“Marilah kita memperkukuh nilai kebersamaan, saling memahami, menghormati, menerima dan meraikan perbezaan sebagai teras kehidupan bermasyarakat,” ujarnya.

Terbaharu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan Vikneswaran a/l Selvanathan yang disiasat kerana memijak al-Quran akan didakwa dengan dua pertuduhan esok. MalaysiaGazette

 

Pijak al-Quran: Vikneswaran berdepan dua pertuduhan esok

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast