BAITUMAQDIS – Israel telah menutup Masjid al-Aqsa untuk hari ketiga berturut-turut, sekali gus menghalang umat Islam Palestin daripada menunaikan solat di tapak suci itu sepanjang bulan Ramadan.
Keadaan ini disifatkan sebagai satu pelanggaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Rakyat Palestin memberi amaran langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas Israel untuk mengeksploitasi ketegangan keselamatan bagi mengenakan sekatan tambahan serta mengukuhkan kawalan ke atas Masjid al-Aqsa.
Penutupan itu dibuat oleh pihak berkuasa Israel sebagai keadaan darurat, susulan pelancaran perang dengan Iran pada hari Sabtu.
Masjid yang terletak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki itu akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak, dengan hanya aktiviti penting dibenarkan.
Sheikh Ikrima Sabri, bekas mufti besar Baitulmaqdis dan salah seorang imam kanan Masjid al-Aqsa, mengecam keputusan yang disifatkannya sebagai “tidak berasas”.
Beliau memberitahu Al Jazeera, penutupan itu “melambangkan kawalan polis dengan alasan keselamatan”.
“Ia bercanggah dengan kebebasan beribadat dan menunjukkan pihak berkuasa pendudukan sedang menguasai kawalan ke atas masjid serta melucutkan kuasa Wakaf Islam untuk mentadbirnya,” ujarnya.
Penutupan semasa Ramadan ini tidak pernah berlaku memandangkan Masjid al-Aqsa jarang sekali ditutup kepada jemaah.
Pasukan Israel pernah menutup tapak itu seketika pada tahun 2014 dan sekali lagi pada 2017 susulan ketegangan yang memuncak di Baitulmaqdis.
Pada 2014, Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyifatkan tindakan itu sebagai satu “pengisytiharan perang”.
Masjid itu juga ditutup semasa pandemik Covid-19 atas alasan kesihatan awam.
Selain tempoh tersebut, tiada penutupan berpanjangan direkodkan sejak Israel menduduki Baitulmaqdis Timur pada 1967.
Namun begitu, Israel menutup tapak tersebut semasa perang 12 hari dengan Iran pada Jun lalu, satu langkah yang pada ketika itu dianggap luar biasa oleh ramai rakyat Palestin.
Penutupan terbaharu ini, yang pertama berlaku ketika Ramadan, iaitu waktu ratusan ribu jemaah biasanya berkumpul di al-Aqsa telah menambah kebimbangan.
“Keadaan di masjid amat kritikal,” kata seorang pekerja Wakaf Islam di Baitulmaqdis, iaitu badan amanah agama yang dilantik Jordan dan bertanggungjawab menguruskan kompleks masjid berkenaan.
“Saya tidak pernah ingat ia ditutup dengan cara begini. Realiti baharu di al-Aqsa yang kami bimbangkan kini telah menjadi kenyataan,” kata Mustafa Abu Sway, ahli Majlis Wakaf Islam.
Pekerja tersebut, yang bercakap kepada Middle East Eye berkata, hanya sejumlah kecil pengawal dibenarkan bertugas siang dan malam, manakala yang lain dihalang daripada masuk.
Beliau berkata, penutupan itu berlaku di tengah-tengah apa yang disifatkannya sebagai usaha Israel untuk mengosongkan masjid daripada jemaah, dengan sekatan yang semakin ketat terhadap jumlah individu yang dibenarkan masuk walaupun pada hari biasa, selain larangan menyeluruh terhadap individu tertentu.
Menurutnya, kira-kira 1,000 penduduk Baitulmaqdis telah menerima perintah larangan memasuki masjid, termasuk imam-imam kanan dan 39 kakitangan Wakaf.
Dr Mustafa Abu Sway, seorang profesor yang mengajar di Masjid al-Aqsa dan ahli Majlis Wakaf Islam di Baitulmaqdis berkata, penutupan itu merupakan bukti lanjut perubahan terhadap status quo Masjid al-Aqsa yang lama dibimbangi, kini telah berkuat kuasa.
“Saya tidak pernah ingat ia ditutup dengan cara ini. Realiti baharu di al-Aqsa yang kami bimbangkan kini telah menjadi kenyataan.”
“Terdapat perubahan besar yang diperkenalkan di bawah strategi terbaharu ini, dan ia bukan hanya semasa Ramadan. Ini termasuk menghalang dan melarang sebilangan besar kakitangan Wakaf daripada Masjid al-Aqsa, menyekat kemasukan pembesar suara tertentu dan langkah-langkah lain,” katanya. – Agensi
















