Muhammad Kamil Abdul Munim.

KUALA LUMPUR – Istilah `melalak’ yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait isu penghinaan terhadap al-Quran mesti difahami dalam konteks sebenar dan tidak dipetik secara terpisah bagi membentuk persepsi yang mengelirukan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, istilah itu merujuk kepada sikap segelintir pihak yang tergesa-gesa menuduh kerajaan kononnya gagal bertindak, sedangkan proses siasatan dan penguatkuasaan sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri itu juga bukan serangan terhadap mana-mana individu atau kelompok.

Sebaliknya, ujar beliau, ia merupakan peringatan tegas bahawa tuduhan melulu, tohmahan tidak berasas dan permainan persepsi politik hanya akan mengeruhkan suasana serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.

“Hakikatnya, individu yang terlibat dalam perbuatan menghina al-Quran telah pun ditahan dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.

“Fakta ini dengan jelas membuktikan bahawa kerajaan tidak berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kecaman yang dibuat beberapa pihak terhadap kenyataan Anwar kononnya tiada tindakan diambil terhadap pihak yang menghina al-Quran.

Menerusi laman sosialnya, Anwar menulis: “Melalak ‘tiada tindakan’ tidak menjadikannya benar. Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi di ruangan komen.”

Antara yang mempersoalkan kenyataan Anwar itu ialah Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Sementara itu, Muhammad Kamil menegaskan, Malaysia merupakan sebuah negara hukum dengan setiap tindakan mesti berlandaskan peruntukan undang-undang, bukan tekanan emosi, desakan politik atau tuntutan bersifat populis.

Ujarnya, dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian antara kaum, tindakan yang tergesa-gesa tanpa proses sah bukan sahaja mencabul prinsip keadilan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan yang lebih besar.

Bagaimanapun, tambah beliau, ketegasan mesti disertai kebijaksanaan dan keadilan mesti ditegakkan melalui proses yang telus serta profesional.

“Justeru, AMK menolak sebarang naratif yang cuba menggambarkan kerajaan sebagai lemah atau tidak bertindak,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Perdana Menteri dalam isu tersebut juga harus dilihat sebagai teguran terhadap budaya politik yang gemar membakar sentimen sebelum fakta lengkap diperoleh, bukannya usaha meremehkan kebimbangan rakyat.

Sehubungan itu, ujarnya, AMK menyeru semua pihak agar menghentikan manipulasi isu ini demi kepentingan politik sempit.

“Ruang sewajarnya perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan tanpa tekanan atau campur tangan yang boleh mengganggu proses keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast