JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memantau keadaan anak-anak Johor yang sedang menuntut di Mesir dan Jordan susulan konflik di Timur Tengah yang sedang berlaku ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, terdapat 330 penuntut di Mesir dan 210 penuntut lagi di Jordan.
“Kerajaan negeri sentiasa berhubung rapat dengan Kedutaan Malaysia di Mesir dan Jordan serta wakil pelajar Johor di dua negara itu bagi memperoleh perkembangan terkini secara berterusan mengenai keselamatan mereka.
“Segala langkah dan tindakan yang diambil akan berpandukan kepada nasihat keselamatan serta kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di negara yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri menyeru semua pelajar supaya mematuhi sepenuhnya setiap arahan serta garis panduan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan Kedutaan Besar Malaysia di negara masing-masing.
“Para ibu bapa juga dinasihatkan supaya tidak panik dan mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak Johor di Timur Tengah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa mendoakan supaya situasi ketegangan itu segera reda dan keamanan dapat dipulihkan.
Katanya, keselamatan rakyat Malaysia, khususnya pelajar Johor yang menuntut ilmu di Timur Tengah, sentiasa dalam perhatian dan tanggungjawab bersama.
Amerika Syarikat dan Israel sekali lagi menyerang Iran pada hari Sabtu lalu, sekali gus menimbulkan ketegangan dan perang sehingga hari ini di rantau tersebut. – MalaysiaGazette
















