Asap berkepul-kepul daripada serangan yang dilaporkan oleh Iran di kawasan Kedutaan AS terletak di Kuwait City pada 2 Mac 2026. foto AFP

 

KUWAIT CITY – Asap hitam berkepul-kepul kelihatan dari Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuwait dan beberapa pesawat perang AS terhempas tanpa menyebabkan kematian, ketika Iran meneruskan hari ketiga serangan balasnya di rantau Teluk.

Sebuah pangkalan AS dan sebuah stesen janakuasa turut menjadi sasaran, dalam ketegangan paling dramatik yang dihadapi negara Teluk kecil itu sejak beberapa dekad lalu, selepas pencerobohan AS ke Iraq pada 2003 dan cubaan Iraq menawan Kuwait pada 1990.

Letupan turut kedengaran di bandar-bandar Teluk seperti Abu Dhabi, Dubai, Doha dan Manama ketika Iran menyasarkan sekutu-sekutu AS di Teluk susulan pembunuhan pemimpin tertingginya dalam serangan AS–Israel.

Kedutaan AS di Kuwait tidak membuat sebarang pengumuman ia telah diserang, namun mengeluarkan amaran keselamatan yang menggesa orang ramai supaya menjauhkan diri.

“Terdapat ancaman berterusan serangan peluru berpandu dan UAV (dron) di seluruh Kuwait. Jangan datang ke kedutaan,” menurut kenyataan itu, sambil menambah “Kakitangan Kedutaan AS sedang berlindung di lokasi masing-masing.”

Serangan Iran setakat ini telah mengorbankan lima orang di rantau Teluk, menurut pihak berkuasa, termasuk seorang di Kuwait.

Negara kecil yang kaya dengan minyak itu mempunyai kehadiran ketenteraan AS yang besar sejak pencerobohan Iraq pada 1990, yang berjaya dipatahkan oleh pakatan diketuai AS yang membantu tentera Kuwait.

Kementerian Pertahanan Kuwait turut memaklumkan, “beberapa” pesawat perang AS terhempas, namun semua kru terselamat dan berada dalam keadaan stabil dan pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

“Pihak berkuasa segera memulakan operasi mencari dan menyelamat, memindahkan kru dan membawa mereka ke hospital untuk penilaian serta rawatan perubatan,” menurut kementerian itu sambil menambah keadaan mereka stabil.

Di utara Kuwait, asap tebal kelihatan di sekitar sebuah stesen janakuasa, menurut tiga saksi kepada AFP.

Jurucakap kementerian tenaga berkata, sebuah bekas bahan api di stesen itu terkena serpihan ketika sistem pertahanan udara memintas dron, menyebabkan kebakaran kecil.

Secara berasingan, tentera Iran menyatakan mereka menyasarkan Pangkalan Udara Ali Al Salem yang menempatkan tentera AS di Kuwait, serta beberapa kapal di Lautan Hindi, dengan melancarkan 15 peluru berpandu kruis.

Pada Isnin juga, serpihan peluru jatuh di kilang penapisan Mina Al Ahmadi – antara yang terbesar di Kuwait dan mencederakan dua pekerja, namun tidak mengganggu pengeluaran, menurut Syarikat Petroleum Nasional Kuwait.

Siren amaran berbunyi di seluruh Kuwait City pada Isnin bagi memberi amaran tentang serangan yang sedang menuju masuk. Sejumlah dron yang tidak dinyatakan berjaya dipintas pada waktu subuh, menurut kementerian dalam negeri.

Dana Abbas, seorang jurutera dan penduduk Kuwait City berkata, beliau bimbang dengan peningkatan ketegangan dan segera mengisi minyak keretanya serta menyimpan keperluan asas.

Pada Ahad, Emiriah Arab Bersatu memaklumkan, serpihan yang jatuh telah terkena Menara Etihad yang menempatkan beberapa kedutaan termasuk Israel — menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang wanita dan seorang kanak-kanak.

Serangan besar-besaran Iran yang belum pernah berlaku sebelum ini bukan sahaja mengenai pangkalan tentera, malah turut menjejaskan infrastruktur awam seperti bangunan kediaman, hotel, lapangan terbang dan pelabuhan laut, sekali gus menggegarkan rantau yang sekian lama dianggap sebagai kawasan perlindungan daripada konflik Timur Tengah. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast