KUALA LUMPUR – Badan kehakiman menyasarkan tempoh sembilan bulan bagi menyelesaikan setiap kes pertikaian komersial dan maritim yang didaftarkan di International Commercial and Admiralty Division (ICAD).
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, ICAD yang bersidang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur mempunyai 116 kes pertikaian antarabangsa yang masih aktif yang perlu diselesaikan manakala 54 kes melibatkan admiralti.
Menurut beliau, setakat ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Muhammad Amin Wan Yahya dipertanggungjawabkan bagi mengendalikan kes-kes di Kuala Lumpur dan mahkamah tersebut akan diperluaskan di tempat lain berdasarkan pertambahan kes.
Ujar Ketua Hakim Negara, beliau menetapkan tempoh enam bulan untuk memantau operasi ICAD dan akan berbincang dengan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah sama ada wujud keperluan untuk menambah mahkamah ICAD pada masa akan datang.
“Penyelesaian kes pertikaian komersial dan admiralti di antara syarikat antarabangsa boleh dipercepatkan menerusi ICAD bagi menambah keyakinan pelabur.
“Pihak-pihak yang tidak berpuas hati bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan yang akan diputuskan dalam tempoh tertentu,” ujar beliau pada sidang media selepas merasmikan ICAD di sini hari ini.
Penubuhan ICAD adalah kesinambungan kepada pembukaan Mahkamah Komersial pada tahun 2009 serta Mahkamah Admiralti pada tahun 2010, masing-masing berperanan meningkatkan kecekapan penguatkuasaan kontrak dan penyelesaian pertikaian maritim di Malaysia.
Berikutan pelancaran ICAD, badan kehakiman terus memperkukuh peranan institusi itu sebagai pemudahcara kepada pertumbuhan ekonomi di samping memastikan penyelesaian pertikaian komersial antarabangsa dilaksanakan secara adil, cekap dan berwibawa.
Menurut Wan Ahmad Farid, setakat ini, sejumlah kira-kira 8,000 kes komersial di Mahkamah Tinggi melibatkan pelbagai pembahagian.
Sementara itu dalam ucapannya, Ketua Hakim Negara berkata, masa adalah wang bagi syarikat multinasional yang terlibat dalam pertikaian komersial kerana ia melibatkan kos yang besar jika ia tidak dapat diselesaikan.
Katanya, ketidaktentuan terhadap pertikaian komersial yang kompleks sudah semestinya mengikat modal, mengganggu perancangan perniagaan dan menjejaskan hubungan manakala litigasi berpanjangan hanya akan menimbulkan kesulitan.
Ujar beliau, pelabur dan syarikat yang beroperasi merentas sempadan menghadapi risiko dalam membuat keputusan dimana untuk melabur dan menyelesaikan pertikaian.
“ICAD adalah tindak balas badan kehakiman yang berhasrat memberi penekanan yang lebih besar kepada pengurusan dan pelupusan segera kes komersial yang melibatkan syarikat multinasional dan antarabangsa.
“Kes-kes akan diuruskan secara aktif dari peringkat pemfailan, dengan prosedur direka untuk memadankan kecanggihan dan skala pertikaian yang ingin mereka tangani ,” katanya.
Beliau berkata pertikaian yang dibawa ke hadapan ICAD akan diuruskan dengan disiplin supaya pihak-pihak boleh mengharapkan pertikaian mereka diselesaikan dalam jangka masa yang munasabah, bukan terbiar selama bertahun-tahun.
“Komponen admiralti diberi perhatian khusus kerana negara kita berada di salah satu persimpangan maritim paling strategik di dunia,” katanya.
Tambah beliau, Mahkamah Rayuan baru-baru ini telah menubuhkan panel komersial tambahan, dengan menjangkakan potensi penambahan rayuan yang timbul daripada ICAD.
Ujar Ketua Hakim Negara, Kuala Lumpur merupakan bandar perdagangan, pelaburan dan perusahaan dan ia telah lama layak mendapat mahkamah yang sepadan dengan kedudukannya dan memenuhi keperluan ekonomi. – MalaysiaGazette
















