KOTA TINGGI – Seorang remaja lelaki, Mohd Zikry Zulkifli, 16, maut selepas motosikal diboncengnya bergesel dengan sebuah lagi motosikal ditunggang rakan sebaya di Kilometer 44 Jalan Sungai Rengit di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 10.30 malam melibatkan tiga buah kenderaan.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Satria dipandu seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dengan motosikal SM Sport ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 16 tahun.
“Sebuah lagi motosikal jenis Honda C100 ditunggang dan dibonceng lelaki tempatan juga berusia 16 tahun.
“Punca kemalangan apabila motosikal Honda C100 bergesel sebelum pembonceng tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar Proton Satria,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pembonceng berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala dua penunggang motiskal terbabit mengalami kecederaan ringan dan menerika rawatan di hospital sama.
Sementara itu, tambahhya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,00 hingga RM50,000.
Jelasnya, ia termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh sehingga lima tahun.- MalaysiaGazette
















