KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah SRC International memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau bukan penyebab kerugian yang dialami ekoran pemindahan wang disalahguna yang didakwa dilakukan oleh pengurusan tertinggi syarikat itu.
Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, 70, menjelaskan, beliau tidak mempunyai pengetahuan berhubung pengeluaran wang tersebut mahupun mengesahkan transaksi yang berlaku.
Dalam pernyataan saksinya, Mohammed Azhar berkata, beliau juga tidak mempunyai akses terhadap akaun bank SRC International.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa kerugian yang dialami oleh syarikat itu adalah disebabkan oleh tindakan para pengarahnya.
“Meskipun, perkara itu berlaku ketika saya berjawatan Pengarah SRC, saya tidak boleh dikatakan melanggar undang-undang dan kewajipan fidusiari untuk perkara yang bukan dalam pengetahuan saya.
“Tugas khusus saya apabila menyertai SRC adalah untuk melaksanakan dan teruskan Projek Saluran Paip Gas Sabah dan Projek Saluran Paip Semenanjung yang telah dikenal pasti,” ujarnya.
Mohammed Azhar memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman SRC International dan Gandingan Menteri Sdn. Bhd. terhadap Najib bagi menuntut satu pengisytiharan bahawa bekas Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas RM42 juta berkenaan.
Ia menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.
Mohammed Azhar yang juga bekas Ketua Bahagian Perundangan Petronas, dinamakan sebagai salah seorang daripada pihak ketiga dalam tuntutan saman itu.
Dalam pernyataan saksinya, Mohammed Azhar berkata, beliau hanya mengetahui bekas Perdana Menteri menerima RM42 juta selepas (beliau) dinamakan sebagai defendan dalam prosiding saman yang dikemukakan oleh SRC dan Gandingan Mentari.
Selain itu, dakwanya, beliau tidak terlibat dalam perolehan dan pembiayaan wang Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) atau mempunyai pengetahuan bagaimana wang tersebut dimohon mahupun proses pengeluarannya.
Mohammed Azhar turut memberitahu beliau tidak menyedari permindahan dana dari akaun Gandingan Mentari ke dalam akaun bekas Perdana Menteri pada masa yang berkenaan.
“Saya bukan Pengarah Gandingan Mentari dan tidak pernah terlibat dalam pengurusan dan hal ehwal syarikat itu. Akaun syarikat tersebut juga tidak pernah dibawa kepada perhatian saya.
“Meskipun saya pengarah SRC (ketika itu), saya bukan penandatangan yang meluluskan transaksi tersebut dan perkara itu tidak pernah dibawa kepada saya,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga tidak mengetahui bahawa SRC melalui Gandingan Mentari mengagihkan RM123 juta ke dalam akaun Ihsan Perdana Sdn. Bhd.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok. – MalaysiaGazette
















