Jabatan Negara, Amerika Syarikat

WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat mengarahkan kakitangan bukan kecemasan meninggalkan Bahrain, Jordan dan Iraq, ketika Iran melancarkan tindakan balas terhadap serangan AS–Israel.

Dalam hantaran di platform X, jabatan itu berkata, ia telah mengemas kini nasihat perjalanan bagi Bahrain dan Jordan “bagi mencerminkan arahan pengunduran kakitangan Kerajaan AS bukan kecemasan serta ahli keluarga kakitangan kerajaan”.

Dalam hantaran berasingan, jabatan itu berkata, nasihat perjalanan bagi Iraq juga sudah  dikemas kini pada Isnin, dengan “mengarahkan kakitangan kerajaan AS bukan kecemasan meninggalkan Iraq atas sebab kebimbangan keselamatan”.

Konflik yang semakin memuncak itu bermula pada hari Sabtu selepas serangan bersama AS–Israel ke atas Iran yang menurut Tehran telah mengorbankan puluhan orang awam serta pemimpin tertinggi negara itu, sekali gus mencetuskan serangan balas.

Pengawal Revolusi Iran menyasarkan sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat di Bahrain, menurut kenyataan pasukan elit Republik Islam itu yang dilaporkan oleh agensi berita IRNA.

Di Iraq, ratusan penunjuk perasaan di ibu negara Baghdad, ramai berpakaian hitam, cuba menyerbu Zon Hijau yang berkubu, lokasi Kedutaan AS, pada Ahad selepas pembunuhan pemimpin tertinggi Iran.

Di Jordan, Kedutaan AS di ibu negara Amman berkata, ia telah memindahkan kakitangannya buat sementara waktu berikutan ancaman yang tidak dinyatakan.

Kerajaan Jordan turut memaklumkan, negaranya telah memintas lebih daripada sedozen peluru berpandu sejak Iran memulakan serangan balas pada Sabtu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast