Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menyasarkan perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang berlarutan hampir enam tahun, selesai selewat-lewatnya Jun ini.

Hakim Azura Alwi mahukan perbicaraan yang kini masih di peringkat kes pendakwaan, diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Azura berkata demikian selepas menangguhkan prosiding ekoran permohonan ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja yang memaklumkan dia mengalami demam dan batuk.

“Kes ini sudah lama dan berlarutan, jadi saya kena control (kawal) kes ini. Saya punya target (sasaran) nak habiskan kes pendakwaan selewat-lewatnya Jun ini.

“Untuk hari ini saya benarkan tangguh. Saya nak saksi bawa MC (surat cuti sakit) pada tarikh perbicaraan akan datang. Perbicaraan bersambung 20 dan 21 April ini,” kata Azura.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian berkata pihaknya juga mahu kes itu diselesaikan secepat mungkin.

Ujar beliau, selain Gnanaraja yang juga saksi pendakwaan ke-37, saksi terakhir yang akan dipanggil ialah pegawai penyiasat yang akan disoal balas oleh peguam.

“Sebenarnya puan, kami pun nak kes ini cepat habis dan kami telah buat submission (hujahan bertulis), cuma mahu tambah sikit-sikit sahaja,” kata Wan Shaharuddin.

Terdahulu, semasa sesi soal balas, Gnanaraja memberitahu mahkamah bahawa beliau demam serta batuk selain mempersoalkan tindakan peguam Guan Eng, Tiara Katrina Fuad membangkitkan soalan yang sama.

“Saya tidak sihat, saya ada batuk dan demam yang teruk, saya ingatkan Puan Tiara nak tanya soalan baharu, tetapi beliau tanya soalan yang sama. Saya sudah jelaskan semuanya semasa disoal peguam Ramkarpal Singh,” katanya.

Pada peringkat itu, Ramkarpal bangun dan berkata, mahkamah sepatutnya mengawal prosiding, bukannya saksi dan jika pihak pendakwaan tidak berbuat apa-apa (untuk mengawalnya), maka langkah terbaik supaya hakim sendiri yang berbuat demikian.

Azura kemudian menjelaskan kepada saksi bahawa peguam mempunyai hak untuk menyoal balasnya manakala soalan yang dikemukakan tidak berulang kerana ia melibakan rakaman percakapan berbeza.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast