HONG KONG – Harga minyak meneruskan kenaikan manakala dolar Amerika Syarikat (AS) dan pasaran ekuiti merosot pada Selasa ketika pelabur memantau rapat perkembangan di Timur Tengah, yang mana Amerika Syarikat dan Israel terus mengebom Iran, sementara Tehran melancarkan serangan balas ke atas negara-negara jirannya.
Serangan ke atas Iran telah mengganggu aliran tenaga serantau, dengan Selat Hormuz alami keadaan kritikal laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak global yang ditutup.
Perang itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap krisis tenaga baharu yang boleh melonjakkan inflasi.
Pergerakan pasaran setakat ini agak sederhana berikutan harapan krisis itu tidak berpanjangan dan tidak menimbulkan masalah besar kepada ekonomi global.
Namun, penganalisis memberi amaran semakin lama konflik berlarutan, semakin besar kesannya apabila rantaian bekalan terjejas dan harga meningkat mendadak.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump buat pertama kali menggariskan objektif perang — memusnahkan peluru berpandu, angkatan laut dan program nuklear Iran, serta menghentikan sokongannya terhadap kumpulan bersenjata di seluruh rantau — yang ketara tidak merangkumi usaha menggulingkan republik Islam itu.
Jabatan Negara AS menggesa rakyat Amerika meninggalkan seluruh Timur Tengah dari Mesir ke arah timur.
Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke seluruh Timur Tengah, termasuk ke Arab Saudi, Qatar dan Dubai, sambil secara terbuka mengancam untuk menaikkan kos tenaga global.
Situasi itu menyebabkan harga minyak melonjak hampir 14 peratus pada Isnin sebelum sedikit reda, manakala harga gas asli Eropah meningkat hampir 40 peratus selepas syarikat tenaga milik kerajaan Qatar memaklumkan pengeluaran gas asli cecair (LNG) telah dihentikan.
Harga minyak mentah West Texas Intermediate naik 2.2% kepada AS$72.81 setong pada 0070 GMT dan Brent melonjak 2.8% kepada AS$79.92 setong
Sementara itu, seorang jeneral dalam Pengawal Revolusi Iran mengancam untuk “membakar mana-mana kapal” yang cuba melalui Selat Hormuz.
“Kami juga akan menyerang saluran paip minyak dan tidak akan membenarkan setitik pun minyak keluar dari rantau ini. Harga minyak akan mencecah AS$200 dalam beberapa hari akan datang,” katanya.
Harga minyak mentah meningkat sekurang-kurangnya dua peratus pada Selasa, dan kenaikan kos tenaga dijangka memberi tekanan besar kepada kebanyakan bank pusat yang sedang berusaha menurunkan inflasi sambil mengurangkan kadar faedah untuk menyokong ekonomi.
“Lonjakan harga tenaga mewujudkan dilema kepada bank pusat. Stagflasi amat meresahkan bank pusat; kejutan tenaga yang berpanjangan bersifat inflasi dan pada masa yang sama melemahkan pertumbuhan,” kata Rodrigo Catril dari National Australia Bank.
Chris Weston dari Pepperstone menambah: “Dengan Selat Hormuz buat sementara waktu terhad, semakin lama gangguan berterusan, semakin besar risiko kemudahan dan infrastruktur tambahan di seluruh rantau Teluk terpaksa dihentikan operasi.”
Pasaran saham kebanyakannya menyusut, meneruskan kerugian Isnin di sebahagian besar Asia, manakala dolar AS mengukuh apabila pelabur beralih kepada aset selamat.
Seoul, yang melonjak lebih 40 peratus tahun ini didorong oleh rali teknologi, mengetuai kejatuhan dengan susut lebih tujuh peratus apabila pelabur kembali selepas cuti panjang.
Pengeluar cip Samsung dan SK hynix, yang mencatat kenaikan ketara tahun ini hasil rali teknologi AI, berada di barisan hadapan jualan. Saham Samsung merosot 9.9 peratus manakala SK hynix jatuh 11.5 peratus.
Profesor perniagaan Universiti Sejong, Kim Dae-jong, memberitahu AFP: “Korea Selatan merupakan ekonomi yang sangat bergantung kepada eksport, dan tanda-tanda perang yang semakin meluas di Timur Tengah menambah ketidaktentuan pasaran.
“Negara ini juga bergantung sepenuhnya kepada import tenaga, … menjadikan kesan tertentu hampir tidak dapat dielakkan.”
Tokyo susut lebih tiga peratus manakala Hong Kong, Shanghai, Sydney, Wellington, Taipei dan Jakarta turut mencatat kejatuhan ketara.
Syarikat penerbangan sekali lagi antara yang paling terjejas, dengan Japan Airlines tersenarai di Tokyo jatuh lebih enam peratus, Cathay Pacific turun tiga peratus di Hong Kong dan Qantas merosot 1.8 peratus di Sydney.
“Selagi aliran minyak berterusan, ini kekal sebagai peristiwa volatiliti dan bukan sistemik — namun ia mengesahkan geopolitik kini tertanam secara struktur dalam kitaran pelaburan.
“Dalam jangka pendek, ia meningkatkan risiko inflasi, mengukuhkan dolar AS dan mewujudkan perbezaan ketara antara kelas aset. Volatiliti tenaga, ketidaktentuan inflasi dan perbezaan serantau kembali menjadi ciri utama pasaran,” kata Monica Defend dari Amundi Investment Institute.- Agensi
















