KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai kewujudan sebuah parti yang menggunakan nama Parti Keluarga Malaysia kerana ia tidak pernah dirujuk atau dibincangkan dengan beliau sebelum ini.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, perkara tersebut hanya diketahuinya selepas membaca laporan media, sekali gus menimbulkan tanda tanya hubung kait parti berkenaan dengan Gagasan Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya ketika menerajui kerajaan.
“Saya baru sahaja mendengar tentang Parti Keluarga Malaysia. Jika benar wujud Parti Keluarga Malaysia, ia tidak ada kena-mengena dengan Gagasan Keluarga Malaysia yang saya perkenalkan ketika menjadi Perdana Menteri.
“Dan, ia juga tiada kaitan dengan Yayasan Keluarga Malaysia. Jadi, kita akan tunggu pengumuman daripada ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Saya sendiri belum menyemaknya,” katanya selepas ditemui dalam program berbuka puasa bersama media, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bakal memimpin Parti Keluarga Malaysia bagi meneruskan kelangsungan perjuangan politiknya selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bulan lalu.
Perkara itu sebelum ini disahkan Pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya, yang memaklumkan usaha membuka laluan kepada Hamzah untuk menerajui parti berkenaan kini hampir pasti menjadi kenyataan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sekiranya parti tersebut benar-benar wujud dan ditubuhkan secara rasmi, ia berpotensi memberi kesan secara langsung terhadap imej serta identiti Gagasan Keluarga Malaysia yang telah diperkenalkannya di peringkat nasional.
Menurut beliau, kekeliruan penggunaan nama bukan sahaja boleh mencetuskan polemik politik, malah berisiko menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap inisiatif kebajikan yang dilaksanakan di bawah jenama Keluarga Malaysia.
“Keadaan ini agak mengelirukan. Saya bimbang akan ada lebih ramai pihak yang menggunakan nama Parti Keluarga Malaysia. Jadi jika dikatakan ia mengelirukan, mungkin memang ada kekeliruan dan ia turut mengelirukan kami.
“Melalui Yayasan Keluarga Malaysia, kami juga menerima sumbangan daripada orang ramai untuk membantu anak-anak yatim di bawah yayasan tersebut. Saya khuatir jika timbul kekeliruan, orang ramai tidak lagi berani menyumbang. Saya juga bimbang penipu akan menggunakan nama yang sama,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak ROS dapat membuat penelitian rapi dan mempertimbangkan implikasi penggunaan nama berkenaan bagi memastikan tiada penyalahgunaan atau kekeliruan yang boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat serta para penyumbang. – MalaysiaGazette

















begitu juga apabila nama Islam digunakan sebagai nama pertubuhan atau parti. ianya memberikan impak yang negatif dan amat mengelirukan.