MELAKA – Melaka dijangka mendapat peruntukan pam air mudah alih yang diumumkan Kerajaan Persekutuan di Parlimen semalam bagi menangani isu banjir termenung, khususnya di kawasan Sungai Rambai, Jasin.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pengumuman itu akan memberi kelegaan kepada rakyat yang sering berdepan masalah banjir termenung berlarutan.
Malah, menurutnya, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof bagi menyuarakan isu banjir di Melaka.

“Alhamdulillah, perkara ini telah diambil kira dalam pengumuman semalam dan kita akan pastikan negeri Melaka tidak terlepas untuk mendapatkan pam tersebut.
“Kita tahu banjir termenung ini banyak berlaku di kawasan Jasin, khususnya Sungai Rambai dan ada ketikanya boleh berlarutan hampir seminggu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Upacara Menaikkan Kubah Menara Kompleks As-Solihin, Paya Rumput di sini hari ini, menjadikan menara kubah setinggi 32.5 meter itu ke tiga tertinggi di Melaka.
Semalam, Fadillah memberitahu Dewan Rakyat, sebanyak 606 unit pam bergerak ditempatkan di seluruh negara melibatkan aset Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan Persekutuan bagi mengurangkan risiko banjir termenung terutama di kawasan rendah.
Inisiatif tersebut sebagai langkah sokongan untuk mempercepatkan proses pengepaman air ketika hujan lebat berterusan.

Mengulas lanjut mengenai jumlah pam yang bakal diterima Melaka, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Kita dah mohon lama dah (pam), jadi kalau sudah diumumkan, maknanya memang ada untuk Melaka.
“Peruntukan khusus untuk Sungai Rambai itu nanti akan diumumkan oleh Ketua Menteri, jadi kita tunggu berita gembira untuk penduduk di sana,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















