Sebahagian warga asing yang telah ditahan dalam Ops PATI di sebuah gudang di Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 Mac 2026

SHAH ALAM – Sanggup panjat pagar hingga ‘backflip’ (terguling ke belakang) demi meloloskan diri dari penguat kuasa imigresen.

Itu antara tindakan spontan pekerja warga asing ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysi (JIM) di sebuah gudang bateri di Seksyen 23, Shah Alam hari ini.

Malah ada yang sanggup berkaki ayam, meninggalkan makanan tengah hari mereka dan melarikan diri ke arah longkang besar bagi menyelamatkan diri daripada ditahan penguat kuasa.

Bagaimanapun, salah seorang lelaki warga Bangladesh berusia 23 tahun yang panjat pagar itu akhirnya berjaya dicekup.

Dia mendakwa terpaksa melarikan diri kerana tidak memiliki pasport.

Pekerja warga asing cuba melarikan diri ketika diperiksa pegawai Jabatan Imigresen Selangor dalam Ops PATI di sebuah gudang di Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 Mac 2026

 

Op Mahir itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Jabatan Pendaftaran Negara dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Pengarah Imirgresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya telah menahan seramai 41 lelaki disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI), yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an.

“Semakan mendapati, kesemua tangkapan terdiri daripada 23 individu warga Bangladesh, (9) warga Pakistan, (7) warga Myanmar dan (2) warga India.

“Majoritinya dikesan tinggal lebih masa dan langgar syarat pas. Contohnya ada antara mereka yang bekerja di gudang bateri ini tapi menggunakan pas kerja di sektor pembinaan dan perladangan.

“Susulan itu, tindakan diambil mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Sekyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin, bercakap pada sidang media selepas memeriksa pekerja warga asing dalam Ops PATI di sebuah gudang di Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 Mac 2026

 

Tambah beliau, majikan gudang juga akan dipanggil untuk siasatan manakala kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut.

Serbuan turut dilakukan di sebuah gudang perkakasan elektrik di Shah Alam dan seramai 42 PATI ditahan melibatkan 22 warga India, (9) warga Bangladesh, (8) warga Sri Lanka dan tiga warga Nepal.

Jelasnya, operasi bersepadu yang bermula jam 10 pagi itu turut menggempur sebuah kilang kotak di Kuala Langat dan sebuah gudang besi di Shah Alam.

“Menerusi serbuan di dua lokasi ini, kita telah memeriksa 121 warga asing dan kesemua mereka didapati mematuhi syarat sah pas dan memiliki dokumen yang lengkap.

“Walaupun lokasi semuanya jauh, saya puji majikan yang macam ini kerana kesemuanya (pekerja) ‘proper’. Ini merupakan satu indikator yang baik,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast