KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren Laluan Putrajaya pagi ini mengalami gangguan bekalan kuasa di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal pasukan kejuruteraan mengesahkan bahawa berlaku kecurian kabel bekalan kuasa yang telah dipotong berhampiran Stesen Damansara Damai.
Menurutnya, kejadian itu telah menyebabkan gangguan perkhidmatan yang serius dan memerlukan kerja-kerja pembaikan berskala besar, yang dijangka berterusan sehingga tamat waktu operasi perkhidmatan hari ini.
Tambahnya, disebabkan gangguan operasi itu, penumpang dijangka mengalami waktu menunggu yang lebih lama di platform, terutamanya di antara Stesen Metro Prima hingga Stesen Damansara Damai.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang.
“Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen,” katanya.
Tambahnya, penumpang disarankan untuk mendapatkan pengangkutan alternatif lain bagi meneruskan perjalanan ke destinasi. – MalaysiaGazette
















