Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin

KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan semakin meruncing apabila empat Ketua Bahagian (KB) yang memegang jawatan kanan dalam Badan Pimpinan Negeri (BPN) didakwa melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa hari ini.

Perkembangan itu didedahkan oleh bekas Ketua Bahagian Bersatu Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang memaklumkan beliau menerima pemberitahuan rasmi daripada individu terlibat menerusi aplikasi WhatsApp.

Keputusan tersebut menyaksikan kekosongan jawatan penting negeri melibatkan Timbalan Ketua; Setiausaha Negeri; Ketua Penerangan dan Bendahari Negeri, sekali gus mengundang persoalan terhadap kestabilan kepimpinan parti itu di ibu negara.

“Pada hari ini pula, empat Ketua Bahagian yang memegang jawatan dalam kepimpinan G5 BPN Bersatu Wilayah Persekutuan telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dalam Badan Pimpinan Negeri (BPN) Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.

“Mereka adalah Ketua Bahagian Seputeh – Timbalan Ketua BPN Bersatu Wilayah Persekutuan, Ketua Bahagian Segambut – Setiausaha Negeri, Ketua Bahagian Bukit Bintang – Ketua Penerangan Negeri dan Ketua Bahagian Titiwangsa – Bendahari Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, tiga Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan iaitu Lembah Pantai, Kepong dan Cheras meletakkan jawatan di peringkat bahagian serta keluar parti bulan lalu, sekali gus mencetuskan gelombang ketidaktentuan dalam struktur organisasi negeri.

Dalam masa sama, struktur Bersatu Wilayah Persekutuan turut berdepan beberapa isu lain termasuk status Labuan yang masih sebagai Bahagian penaja, Ketua Bahagian Bandar Tun Razak yang memangku jawatan, Armada Negeri yang belum bersidang, Naib Ketua Srikandi Negeri yang telah keluar parti serta pembubaran Bersekutu Wilayah Persekutuan.

Situasi itu dilihat sebagai tamparan besar kepada kepimpinan BPN Wilayah Persekutuan yang diterajui Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, yang juga baru dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Melaka.

Februari lalu, pimpinan Bersatu Bahagian Lembah Pantai dan Larut turut mengumumkan pembubaran kedua-dua bahagian itu serta-merta, menandakan pergolakan yang semakin meluas di peringkat akar umbi.

Menerusi rakaman disiarkan di Facebook rasmi parti, kepemimpinan Bersatu Larut dan Lembah Pantai menegaskan tindakan tersebut dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Bersatu turut memecat 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk Timbalan Presidennya, Hamzah Zainudin, sekali gus memperlihatkan krisis dalaman yang masih belum berkesudahan. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast