JOHOR BAHRU – Pergolakan di Timur Tengah ketika ini wajar diberi perhatian serius oleh seluruh masyarakat dunia kerana kesannya bukan sahaja tertumpu kepada rantau berkenaan, malah memberi impak besar terhadap ekonomi dan kestabilan global.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, semua pihak perlu terus mendoakan agar konflik yang tercetus dapat dihentikan dengan kadar segera demi menjamin keamanan sejagat.
Beliau berkata, peperangan di rantau itu sudah pasti memberi kesan besar bukan sahaja kepada Timur Tengah, bahkan seluruh dunia.
“Apabila berlaku peperangan, sudah tentu akan ada kesan daripada segi harga minyak. Jika harga minyak meningkat, ia akan memberi impak kepada kita di Malaysia.
“Kenaikan itu seterusnya mencetuskan kesan domino terhadap setiap sektor perdagangan dan juga perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Johor Bersama Pengamal Mdia di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, di sini malam tadi.
Menurut Onn Hafiz, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak dan gas, kenaikan harga minyak mentah global tetap memberi tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.
Tambah beliau, dalam ekonomi moden yang saling berkait, pergolakan di satu rantau boleh menjejaskan kestabilan kewangan, pelaburan serta keyakinan pasaran di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha diplomasi, rundingan damai dan kerjasama antarabangsa amat penting bagi memastikan konflik dapat dihentikan secepat mungkin.
“Kita sebagai masyarakat yang prihatin hanya mampu mendoakan agar peperangan ini dihentikan segera demi keamanan sejagat, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di seluruh dunia,” katanya.- MalaysiaGazette
















