Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 02 MAC 2026.

 

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sukar membayangkan sebarang kerjasama dengan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam tempoh terdekat kerana kepercayaan terhadap Ahli Parlimen Larut itu sudah terhakis.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau secara peribadi juga akan menolak sekiranya Hamzah bersama parti baharunya kelak berhasrat menyertai Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, kemasukan mana-mana parti ke dalam PN bukan keputusan satu pihak, sebaliknya perlu mendapat persetujuan semua parti komponen dalam gabungan tersebut.

“Saya tidak berapa yakin perkara itu boleh berlaku (kemasukan parti Hamzah ke dalam PN). Kalau dia hendak cari haluan, hala tuju, itu hal dia. Bukan hak saya untuk mengatakan ya, di sini sana.

“Saya tidak nak campur tangan. Tapi kalau dia nak masuk PN…saya akan jawab tidak boleh sebab once bitten twice shy (sekali dikhianati kena berwaspada),” katanya dalam pertemuan eksklusif baru-baru ini.

Kata bekas Perdana Menteri itu, pendirian peribadinya jelas kerana kepercayaan terhadap seseorang yang pernah mengecewakan tidak mudah dipulihkan.

“Orang yang sudah buat hal, hendak masuk balik? PN ada empat keahlian parti yang akan mempertimbangkan boleh atau tidak.

“Tetapi ikut pandangan peribadi saya, kalau dalam tempoh setahun dua, tidak nampak dia ok, minta maaflah, kita ini manusia. Tidak semudah itu,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan Hamzah yang kini masih memegang jawatan Ketua Pembangkang dijangka memimpin Parti Keluarga Malaysia susulan pemecatannya daripada Bersatu bulan lalu.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada parti baharu itu berpotensi menyertai PN, lebih-lebih lagi mengambil kira hubungan baik Hamzah dengan Pas.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau pernah mendapatkan penjelasan daripada Hamzah berhubung dakwaan ‘pengkhianatan’ tersebut, namun perkara itu dinafikan oleh bekas Menteri Dalam Negeri itu.

“Kalau saya tanya Hamzah, Hamzah kata ‘No sir, I am always your supporter. Number one supporter.’ (Saya penyokong nombor satu anda).

“Tapi bila awak cakap begitu (tindakan dibuat Hamzah), saya sudah tidak percaya lagilah nama itu. Minta maaf.

“Apabila anda hilang keyakinan dengan seseorang seperti itu kerana ia tidak berlaku jujur… ia adalah perkara besar. Saya perlu lindungi parti saya. Takkan boleh biarkan orang rosakkan parti saya.

“Hendak saya biarkan? Sebagai pengasas saya tidak rela. Saya bercakap dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi walaupun saya seorang saja yang tinggal saya akan pertahankan Bersatu. Itu pendirian saya,” tegasnya lagi.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan tindakan terhadap mana-mana pemimpin Bersatu yang dilihat menyokong Hamzah, Muhyiddin berkata tindakan disiplin merupakan proses berterusan dalam parti.

Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan Bersatu semakin lemah susulan pemecatan beberapa pemimpinnya sebelum ini.

“Bersatu masih kukuh, relatifnya masih kukuh. Beritahu saya kalau kata ramai sudah ikut Hamzah, berapa ratus ribu yang ikut beliau? Berapa ketua bahagian yang sudah keluar? Ramai masih utuh dengan kita,” ujarnya.

Muhyiddin bagaimanapun mengakui beliau tidak bercadang memimpin parti itu selama-lamanya dan bersedia memberi laluan kepada barisan pimpinan muda pada masa akan datang.

Antara nama disebut beliau termasuklah Naib Presiden, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua ARMADA, Muhammad Hilman Idham serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Dr Afif Bahardin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast