Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat kembali menjadi perhatian apabila timbul persoalan mengenai keabsahan mandat dalam kalangan blok pembangkang sendiri, sekali gus mencetuskan perdebatan tentang legitimasi kepimpinan di Parlimen.

Isu ini timbul susulan  polemik membabitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kini berdepan persoalan mengenai sokongan dalam kalangan parti-parti pembangkang selepas perubahan kedudukan politiknya.

Isu yang pada awalnya dilihat sebagai polemik dalaman parti, kini berkembang menjadi perbahasan lebih besar bukan sekadar soal jawatan, tetapi menyentuh asas demokrasi berparlimen iaitu sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang terhadap individu yang mengetuai mereka.

Tindakan mempertahankan kedudukan tersebut turut mengundang reaksi pelbagai pihak, termasuk sokongan terbuka daripada Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, yang menambah lagi dimensi kepada kemelut dalaman berkenaan.

Penganalisis politik, Datuk Saiful Bahar menyifatkan situasi tersebut sebagai “krisis keyakinan dalaman” yang berpotensi menjejaskan kredibiliti pembangkang sebagai institusi semak dan imbang kepada kerajaan.

“Sehubungan dengan itu mana-mana pemimpin yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang Parlimen perlu mempunyai keabsahan daripada  ketua-ketua parti di blok pembangkang. Ini merupakan basic rule (peraturan asas) di dalam mana-mana Negara Demokrasi Berparlimen.

“Apabila ahli Parlimen tersebut dipecat, hilang kepercayaan ataupun hilang keabsahan maka dia sudah tidak boleh memegang jawatan Ketua Pembangkang tersebut. Dia sudah hilang ‘locus standi’,” katanya.

Menurut Saiful Bahar, pertikaian terbuka yang berpanjangan boleh memberi kesan terhadap persepsi awam dan imej institusi Parlimen.

“Pergolakkan di Dewan Rakyat ini menjadi bahan ketawa negara-negara jiran. Ia juga jelas memperlihatkan kematangan politik yang cuba tetap bergayut pada suatu jawatan yang sudah bukan miliknya,” katanya lagi.

Beliau menegaskan penyelesaian perlu dibuat secara berprinsip dan berlandaskan mandat yang jelas, agar institusi Parlimen terus dihormati serta fungsi semak dan imbang tidak terjejas.

Semalam, media melaporkan Hamzah dijangka memimpin Parti Keluarga Malaysia bagi meneruskan kelangsungan perjuangan politiknya selepas dipecat daripada Bersatu bulan lalu.

Perkara itu disahkan Pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya, yang memaklumkan usaha membuka laluan kepada Hamzah untuk menerajui parti tersebut kini hampir dimuktamadkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast