JOHOR BAHRU – Kakitangan kerajaan Persekutuan yang menerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) mendakwa terdapat kerenah biokrasi dalam pemberian untuk fasa keduanya pada Jumaat ini.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Datuk Mohd Ridhwan Othman mendakwa, ia berbeza dengan fasa pertama yang mudah apabila terus disalurkan kepada institusi masing-masing yang cepat dan berkesan.
Beliau memberitahu, pemberian bagi fasa kedua tersebut dilakukan dalam waktu bekerja dan menerusi surat jemputan untuk mengambil wang dan ada ayat yang seolah-olah mengugut mereka.
Sebagai contoh, jemputan untuk mengambil wang bagi kakitangan kerajaan Persekutuan dalam satu majlis penyerahan di Arena Larkin Indoor Stadium Johor Bahru pada Jumaat ini.
“Ayat yang digunakan oleh pihak Pejabat Daerah Johor Bahru dalam jemputan tidak sesuai dan seperti mengugut penjawat awam serta tidak memahami situasi penerima-penerima bantuan.
“Seolah-olah tidak sensitif dengan suasana bulan Ramadan yang sibuk, terhad dengan masa kerja-kerja hakiki dan kekangan masa yang dihadapi.
“Majlis tersebut berlaku waktu kemuncak kakitangan awam balik untuk berbuka bersama-sama keluarga dan mempunyai urusan-urusan penting yang lain termasuk kesesakkan lalu lintas serta ruangan parkir yang terhad,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, pihaknya menerima aduan berhubung perkara tersebut yang merungut dengan kaedah penyerahan bantuan pada kali ini.
Menurutnya, diharapkan pihak yang berkenaan dapat melihat semula prosedur pemberian khas BKJ seperti mana perlaksanaan mudah dan lancar pada pemberian BKR Fasa 1.
“Kami hargai dan ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas usaha kerajaan Johor cuma harap dipertimbangkan semula pemberian khas BKJ ini,” katanya. – MalaysiaGazette















