MUMBAI – Pengimport gas asli cecair (LNG) terbesar India memberi amaran berlaku gangguan dalam beberapa operasi susulan perang di Asia Barat, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga di negara paling ramai penduduk di dunia itu.
Petronet LNG dalam makluman kepada bursa saham yang dikeluarkan lewat Selasa memaklumkan, kapal-kapal tidak dapat bergerak dengan selamat melalui Selat Hormuz untuk sampai ke Ras Laffan, pelabuhan pemuatan milik QatarEnergy.
QatarEnergy — yang menggantung pengeluaran LNG awal minggu ini — merupakan pembekal utama kepada pengimport India berkenaan.
Susulan itu, Petronet LNG berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis force majeure kepada QatarEnergy berkaitan kapal tangki LNG miliknya, iaitu Disha, Raahi dan Aseem, selain turut menerima notis yang sama daripada syarikat tersebut.
Petronet LNG juga menghantar notis force majeure (keadaan luar jangka) kepada para pelanggan domestik termasuk GAIL, Indian Oil Corporation dan Bharat Petroleum Corporation.
“Kesan yang berkemungkinan berlaku… tidak dapat dianggarkan pada ketika ini,” kata syarikat itu tanpa memberikan perincian lanjut.
Media tempatan melaporkan beberapa syarikat gas domestik telah memberi amaran kepada pelanggan industri mengenai pengurangan kecil bekalan.
India, yang sangat bergantung kepada import minyak dan gas bagi memenuhi keperluan tenaga, memberi amaran pada Selasa bahawa perang tersebut boleh membawa “kesan serius” kepada ekonominya.
Kementerian Petroleum pula berusaha meredakan kebimbangan dengan menyatakan rizab negara berada pada tahap “agak selesa”, selain mungkin mempertimbangkan pelaksanaan “langkah berperingkat” sekiranya perlu bagi mengurangkan kesan.
Akhbar The Hindu, memetik sumber tidak dinamakan, melaporkan, India mempunyai “rizab minyak mentah untuk 25 hari” dan bekalan LNG bagi “dua hingga tiga minggu akan datang”.
Pakar berkata, India dan negara Asia Selatan lain seperti Bangladesh dan Sri Lanka amat terdedah kepada kesan kenaikan harga minyak.
Sri Lanka dijangka berdepan antara tekanan paling “berat” terhadap KDNK berikutan “tekanan kewangan luaran sedia ada”, menurut penganalisis di BMI, unit kepada Fitch Solutions.
India pula dijangka “menghadapi tahap kesakitan seterusnya” memandangkan “kebergantungan tinggi terhadap import minyak mentah”. – Agensi
















