Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 MAC 2023.(GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan sebagai usaha terakhir untuk menggugurkan hakim dalam kes solar hibrid yang mensabit dan menghukumnya atas kesalahan rasuah.

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah berkata, permohonan itu akan difailkan pada Jumaat minggu depan (13 Mac).

Katanya, permohonan tersebut bagi membolehkan panel berlainan menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang menolak rayuan isteri bekas Perdana Menteri.

“Permohonan dikemukakan mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995,” ujarnya ketika ditemui wakil media di lobi Istana Kehakiman di sini.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan bagi menentukan tarikh pendengaran rayuan Rosmah terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Akberdin berkata, pasukan pembelaan mendapat arahan terbaharu bahawa Rosmah berhasrat meneruskan usaha terakhirnya untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, melalui permohonan semakan.

Pada sesi itu, Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid kemudian menetapkan 16 Mac ini bagi mengemas kini perkara tersebut.

Turut hadir, peguam Datuk Jagjit Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee mewakili pihak pendakwaan.

Semalam, panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan sebulat suara menolak rayuan Rosmah untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini selain memohon beliau dibicara semula terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar berpendapat, tidak wujud bahaya berat sebelah yang nyata terhadap keputusan hakim berkenaan yang mensabit dan menghukum Rosmah.

Panel mahkamah tertinggi negara turut mendapati Hakim Mohamed Zaini tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Pada 1 September 2022, hakim itu memutuskan Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan memerintahkannya dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Sebelum keputusan tersebut diberikan, Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini atas alasan beliau meragui integritinya ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.

Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu, kemudian tular di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast