Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi akan mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Petronas, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia bagi membincangkan kesan konflik di Asia Barat terhadap ekonomi negara, selain meneliti langkah yang perlu diambil sekiranya situasi itu berlarutan.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, mesyuarat tersebut diadakan bagi menyelaras tindakan kerajaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan kesan terhadap ekonomi Malaysia.

Menurut beliau, perbincangan itu bukan sekadar di peringkat awal, sebaliknya bagi menilai keputusan dasar yang perlu diambil kerajaan jika konflik berkenaan berterusan.

“Isunya kita nak tengok apa keputusan yang kerajaan perlu ambil sekiranya konflik ini berterusan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook beliau.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan kesan konflik berkenaan dapat diminimumkan khususnya kepada rakyat serta peniaga kecil.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa mengemas kini apa pun perkembangan yang berlaku. Kesan itu kita cuba minimumkan kepada rakyat dan juga peniaga kecil,” katanya.

Akmal Nasrullah turut menegaskan bahawa kerajaan akan mengekalkan harga subsidi petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter.

Katanya, kementeriannya kini memantau dengan teliti perkembangan yang berlaku di Asia Barat namun setakat ini tiada petunjuk yang memerlukan perubahan dasar secara drastik oleh kerajaan.

“Kementerian Ekonomi sedang memantau dengan teliti apa yang berlaku di Asia Barat tetapi ia tidak memberikan sebarang petunjuk untuk kerajaan membuat perubahan drastik dari segi dasar kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast