PUTRAJAYA – Bekalan makanan dalam negara ini sehingga kini belum terjejas akibat pergolakan di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat (AS) – Israel ke atas Iran, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, ini kerana negara-negara yang sedang berkonflik di wilayah itu tidak terlibat dengan majoriti sumber makanan ke Malaysia.
Jelas beliau, negara yang banyak terlibat dalam import makanan ke negara ini adalah India, Pakistan, ASEAN, Australia, New Zealand, Brazil, Argentina.
“Di sebelah sana, kita banyak terlibat dalam pengeksportan terutama sekali di Dubai dan negara-negara berdekatan.
“Setakat ini kita belum terjejas apa-apa hal berkaitan keterjaminan makanan,” katanya pada sidang media selepas Program Ihya Ramadan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad tidak menolak konflik itu berlarutan dalam jangka masa panjang akan menyebabkan berlaku kesan rantaian sekiranta berlaku lonjakan harga minyak dunia termasuk dari segi logistik bagi sumber baja.
“Kita tidak tahu berapa lama konflik ini akan berlaku. Kalau ia berpanjangan dan kita tahu bila berlaku kenaikan harga minyak, kemungkinan akan berlaku kenaikan harga barangan import dan sebagainya.
“Harga baja buat masa sekarang belum lagi terlibat kerana seperti saya katakan tadi yang kita bawa bahan itu pun tidak daripada negera-negera yang terlibat.
“Cuma kita takut jangka panjang ia berlaku berlarutan saya kata kenaikan harga minyak melampaui batas ia akan memberi kesan kepada Malaysia” katanya. – MalaysiaGazette

















