KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penghalang utama kepada usaha penyatuan politik Melayu.
Ia kerana bekas Perdana Menteri itu dilihat tidak berminat terhadap permuafakatan dengan parti-parti besar termasuk Pas selain terlalu obses dengan jawatan.
Bagaimanapun bekas Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan gerakan dikenali sebagai Bangkok Move dan enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Jika ada yang nak tahu mengenai apa yang didakwa sebagai Bangkok Move, saya tak ada maklumat dan saya tak tahu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun beliau berpandangan, usaha memperkukuh penyatuan politik Melayu perlu diteruskan dengan mengadakan pertemuan bersama mana-mana pihak yang sedia berbincang.
“Pada pandangan saya, kita perlu bertemu sesiapa sahaja yang sudi untuk membincangkan mengenai penyatuan politik Melayu. Secara umumnya pendekatan kita haruslah mengusahakan perpaduan parti besar Melayu di mana-mana peringkat dan kita perlu bertemu semua pihak yang bersesuaian,” ujarnya.
Wan Saiful yang juga bekas pemimpin kanan Bersatu itu mendakwa sebelum ini usaha tersebut terhalang disebabkan sikap Muhyiddin yang seolah-olah tidak berminat menjayakan permuafakatan dengan parti-parti besar di Malaysia.
Malah beliau mendakwa hubungan baik dengan Pas turut terjejas akibat tindakan bekas Perdana Menteri itu.
Tambahnya, kenyataan Muhyiddin yang dilihat marah apabila ada pihak mengadakan pertemuan dengan parti lain menunjukkan seolah-olah wujud usaha menolak penyatuan parti-parti Melayu.
“Dan nampaknya hari ini obsesi Muhyiddin ialah jawatan. Dia marah apabila ada orang tuduh Hamzah nak diletak sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kalau betul dia ada maklumat, buktikanlah,” katanya lagi.
Menurut Wan Saiful, umum mengetahui terdapat usaha untuk mencalonkan Muhyiddin kembali sebagai Perdana Menteri namun mempersoalkan mengapa isu jawatan menjadi pertikaian sekiranya melibatkan individu lain.
“Kalau jawatan itu untuk dia, hukumnya boleh. Tetapi kalau jawatan itu untuk orang lain, salah pula?” soalnya. – MalaysiaGazette
















