MUAR – Seorang pemandu pacuan empat roda yang dipercayai sedang `lalok’ merempuh penunggang dan pembonceng motosikal hingga maut di Jalan Rencong, Lenga di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 8.42 pagi melibatkan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa pacuan empat roda tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dari arah ke Lenga memasuki laluan bertentangan.
“Kejadian tersebut berlaku di selekoh sebelum pacuan empat roda tersebut bertembung dengan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, penunggang, Norman Ahmad, 47, dan pembonceng iaitu bapa saudaranya, Sa’at Kassim, 77, yang kedua-duanya tidak bekerja dan beralamat di Kampung Bukit Bandar, Bukit Kepong mengalami kecederaan parah.
Katanya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut ke atas pemandu pacuan empat roda tersebut menjumpai bahan disyaki dadah iaitu 20 biji pil Eramin-5 seberat 5.15 gram dan syabu seberat 0.39 gram.
Raiz Mukhliz memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati pemandu terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek telah ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12(2) A dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Tambahnya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Muar dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette















