KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 18 tahun maut manakala tiga lagi cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sendiri ke dalam gaung di Kilometer 27.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala Karak, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 5.03 pagi.
Menurutnya, komander operasi memaklumkan sebuah kenderaan telah terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung.
“Hasil semakan mendapati terdapat empat lelaki berusia antara 18 hingga 20 tahun tersepit di dalam kenderaan tersebut dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia disahkan di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 17 kilometer dari balai berkenaan. – MalaysiaGazette
















