Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bercakap kepada media selepas Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ukhuwah Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026 di Pejabat KPT, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2026.

PUTRAJAYA – Sebarang tindakan berhubung siasatan melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan diserahkan kepada universiti berkenaan untuk tindakan lanjut.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ia termasuk menilai sama ada teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang diberikan bersifat serius atau sekadar melibatkan aspek tadbir urus.

Menurutnya, setiap laporan audit yang dikemukakan akan diteliti di peringkat kementerian sebelum arahan diberikan kepada institusi berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Sekiranya teguran tersebut tidak serius dan hanya melibatkan soal tadbir urus, langkah penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan syor yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagaimanapun, jika didapati terdapat kesalahan serius berkaitan tadbir urus, maka tindakan lanjut akan diambil mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas Program Perhimpunan Bulanan dan Majlis Iftar bersama warga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai isu melibatkan UKM, sambil menegaskan bahawa pihak kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menilai dan menentukan tindakan selanjutnya.

Terdahulu media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan berhubung penemuan LKAN membabitkan UKM.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki menjelaskan, siasatan berkenaan membabitkan program pengambilan pelajar serta tuntutan palsu.

Ketika ini, SPRM telah mendapat kerjasama daripada UKM dan belum memanggil sebarang saksi untuk siasatan itu.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, sekiranya terdapat perkara yang memerlukan tindakan undang-undang seperti laporan polis dan SPRM selepas laporan audit dibentangkan, perkara itu akan dibuat berdasarkan penemuan dalam laporan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pihak kementerian telah menetapkan peraturan dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak berkaitan dan langkah-langkah sewajarnya akan diambil selaras dengan peraturan berkenaan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast