Teresa Kok

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memulihkan keyakinan awam dan menilai semula cara siasatan terhadap James Chai, iaitu penganalisis politik yang juga bekas pegawai kepada Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok berkata, beliau bimbang terhadap cara James Chai digambarkan secara terbuka berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Menurutnya, meskipun menegaskan dakwaan rasuah mesti disiasat, namun cara sesuatu siasatan berlangsung dalam ruang awam juga amat penting.

Ujarnya, apabila seseorang individu yang secara terbuka menafikan sebarang salah laku kelihatan diletakkan di bawah penelitian awam yang begitu kuat sebelum fakta penuh ditentukan, keadaan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa proses tersebut mungkin tidak seimbang atau berlebihan.

Tambahnya, James Chai telah menjelaskan bahawa penglibatannya berkaitan dengan tugasnya sebagai pegawai dasar yang mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai aspirasi Malaysia dalam industri semikonduktor.

“Jika benar itulah konteks peranannya, maka situasi semasa ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat sama ada seorang individu yang relatifnya masih junior kini sedang menanggung tekanan awam pada tahap yang mungkin tidak sepadan dengan kedudukannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Teresa, adalah penting supaya proses siasatan ke atas James Chai tidak menimbulkan tanggapan bahawa seorang individu yang tidak mempunyai kuasa politik atau sokongan institusi dibiarkan berdepan penghakiman awam yang begitu besar secara bersendirian.

Ia khususnya, kata beliau, ketika wacana awam semakin memuncak susulan pertukaran kenyataan baru-baru ini antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi.

Ujarnya, laporan terkini menyatakan bahawa SPRM telah mengeluarkan notis awam bagi mengesan James Chai untuk membantu siasatan, yang menurut suruhanjaya itu merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan biasa selepas usaha menghubungi individu tersebut tidak berjaya.

Tambahnya, walaupun agensi penguatkuasaan perlu diberi ruang untuk melaksanakan tugas mereka, cara perkara sebegini dimaklumkan kepada umum secara tidak langsung akan membentuk persepsi masyarakat.

“Perkara ini mungkin boleh diuruskan dengan lebih berhati-hati dan penuh kepekaan supaya keyakinan awam kekal kukuh dan sentimen rakyat terhadap kerajaan kekal positif.

“Apabila siasatan yang melibatkan individu yang bukan pemegang jawatan awam dikendalikan secara sangat terbuka, ia boleh secara tidak sengaja menimbulkan tanggapan bahawa seorang individu sedang dikenakan tekanan awam yang tidak seimbang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast