KUALA LUMPUR – Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini wang RM2.8 juta yang diterimanya merupakan bayaran pengenalan selepas beliau memperkenalkan FELCRA Berhad kepada perunding unit amanah Public Mutual.
Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu hadir di mahkamah kira-kira pukul 8 pagi dengan berpakaian serba hitam untuk memberi keterangan membela diri di hadapan Hakim Rosli Ahmad berhubung pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah.
Dalam keterangannya, bekas pelakon itu menegaskan wang tersebut diterima secara sah dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku.
“Kami menguruskan hal ehwal kewangan berasingan dan suami saya tidak terbabit dalam urusan perniagaan ataupun pelaburan saya.
“Saya menguruskan perkara itu sendiri. Oleh kerana bayaran pengenalan ini berkaitan dengan urusan peribadi saya, saya rasa tidak perlu untuk memaklumkan kepadanya.
“Saya tidak memberikan mana-mana wang daripada jumlah itu kepada suami saya, dan saya juga tidak menggunakan sebarang wang itu untuk suami saya.
“Saya tidak memaklumkan perkara ini kepada beliau dan saya sama sekali tidak bersubahat dengan beliau dalam sebarang salah laku,” katanya pada prosiding hari ini.
Zizie Izette turut menolak cadangan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How bahawa kenyataannya tidak memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya adalah rekaan semata-mata.
Menjawab soalan balas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamri, Zizie Izette berkata, sebelum menerima wang itu, beliau telah bertanya beberapa kali mengenai sumbernya dan hanya bersetuju selepas diberi penjelasan.
“Sebelum saya terima, saya sudah bertanya berkali-kali dari mana, bagaimana dan duit itu datang dari mana. Setelah saya fikir semua perkara itu, saya tidak menolak,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan menerima wang tersebut dibuat selepas diyakinkan oleh ejen pelaburan Norhaili Ahmad Mokhtar mengenai tujuan pemberian itu.
“Selepas saya diyakinkan Norhaili, ya, saya tidak menolak wang itu,” katanya.
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa wang tersebut merupakan suapan.
Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad untuk memperoleh suapan RM2.2 juta dan RM262,500 daripada Madhi serta RM337,500 daripada Norhaili sebagai dorongan mendapatkan kelulusan bagi pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Kes terhadap Zizie Izette diteruskan selepas pihak pendakwaan menolak representasinya pada 16 Januari lalu, manakala pertuduhan terhadap Bung Moktar digugurkan selepas beliau meninggal dunia pada Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette
















