KUALA LUMPUR – Bayaran balik cukai kepada pembayar cukai yang layak dan telah selesai diproses akan mula dikreditkan secara berperingkat mulai minggu kedua Mac ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkata, bayaran balik tersebut melibatkan pembayar cukai individu yang telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2025.
Ia selaras dengan pembukaan perkhidmatan e-Filing mulai 1 Mac 2026 seperti yang telah dimaklumkan oleh LHDN sebelum ini.
“Selaras dengan Piagam Pelanggan LHDN, bayaran balik cukai bagi BNCP yang dihantar melalui e-Filing akan diproses dalam tempoh sehingga 30 hari bekerja, manakala bagi BNCP yang dihantar secara manual pula tempoh pemprosesan adalah sehingga 90 hari bekerja.
“Walau bagaimanapun, sekiranya maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai adalah lengkap dan tepat serta tidak memerlukan semakan lanjut, bayaran balik cukai akan diproses lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Sehubungan itu katanya, pembayar cukai dinasihatkan untuk memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada LHDN adalah tepat dan terkini bagi memastikan bayaran balik dapat diproses dengan lancar. -MalaysiaGazette
















