Wisma FAM, Kelana Jaya.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan berkuat kuasa yang dikeluarkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan yang difailkan oleh FAM dan tujuh pemain tersebut.

FAM yang menghormati bidang kuasa CAS bagaimanapun berpendapat  hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang terutamanya apabila dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh CAS.

Badan induk bola sepak negara itu berkata,pihaknya akan menilai perkara itu dengan lebih lanjut setelah keputusan penuh diperoleh.

“Rayuan FAM telah ditolak. Rayuan para pemain pula telah diterima sebahagiannya, dengan hukuman mereka dipinda, namun mereka masih tidak dibenarkan bermain selama lapan bulan lagi.

“Alasan penuh bagi keputusan tersebut masih belum dikeluarkan, dan sebarang ulasan lanjut mengenai merit keputusan itu akan dibuat selepas butiran penuh keputusan tersebut diteliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, CAS mengekalkan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain negara iaitu Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.

Namun penggantungan ini hanya tertakluk kepada perlawanan rasmi dan bukan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang terbukti dan larangan 12 bulan daripada bermain perlawanan adalah hukuman yang munasabah serta seimbang bagi tujuh pemain terbabit.

FAM menambah sepanjang prosiding itu, pihaknya  telah menerima tanggungjawab atas kegagalan penyeliaan yang berlaku.

Katanya, siasatan oleh agensi kerajaan di Malaysia serta FIFA masih sedang berjalan dan FAM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan.

“Keputusan ini amat mengecewakan khususnya bagi para pemain. Mereka tidak terlibat dalam proses pentadbiran dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara berkaitan pentadbiran.

“Para pemain tersebut adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia.

FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh yang sukar ini.

“Pasukan kebangsaan kekal fokus terhadap objektifnya dan akan terus berusaha keras demi bola sepak Malaysia,” kata FAM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast