Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Tempat beliau akan diisi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Amran Ahmad.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan tersebut antara enam pelantikan baharu dan perubahan penempatan bagi jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam berkuat kuasa 9 Mac ini.

Katanya, perubahan itu adalah manifestasi kepada tuntutan reformasi yang memerlukan kepantasan dan ketangkasan luar biasa.

“Perkhidmatan awam perlu lebih telus dan berintegriti dalam melahirkan sektor awam yang lebih berdaya saing dan. relevan dengan peredaran zaman.

“Berlandaskan prinsip #tatasetia, setiap pelantikan ini membawa amanah besar untuk memperkukuhkan kerjasama antara agensi dan membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja serta negara dalam merealisasikan visi Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain Anis, kerajaan turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis, Datuk Rahimi Ismail sebagai KSU Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tempat beliau akan diambil alih Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Noor Azman Abdul Rahman.

Perubahan penempatan pula menyaksikan KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dilantik sebagai KSU KKM manakala KSU KBS, Datuk Dr K Nagulendran pula bertukar sebagai KSU MOSTI. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast