KUALA LUMPUR – Tahap pemantauan keselamatan di seluruh negara dipertingkatkan susulan perkembangan geopolitik semasa di Asia Barat, termasuk ketegangan yang berlaku di Iran.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu diputuskan melalui mesyuarat yang diadakan dari semasa ke semasa bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terkawal.
Menurut beliau, semua ketua polis negeri serta pengarah jabatan telah diarahkan meningkatkan rondaan serta kawalan keselamatan, khususnya di lokasi strategik dan kawasan yang dikenal pasti berisiko.
“Kita sentiasa mengadakan mesyuarat melalui Majlis Keselamatan Negara. Dengan perkembangan yang berlaku di Timur Tengah dan Iran ketika ini, kita telah memastikan semua ketua polis negeri dan pengarah jabatan mempertingkatkan rondaan serta kawalan keselamatan.
“Langkah ini melibatkan kawasan sempadan negara, sasaran-sasaran penting serta aset strategik yang terdapat di dalam negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman petang ini.
Sambungnya, pemantauan juga melibatkan kepentingan negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah yang beroperasi di Malaysia, berikutan kemungkinan menjadi sasaran pihak tertentu sekiranya ketegangan geopolitik meningkat.
“Selain aset tempatan, kita juga memberi perhatian kepada kepentingan Amerika Syarikat dan Eropah yang mungkin menjadi sasaran kepada mana-mana pihak yang mempunyai agenda tertentu,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khalid berkata pihak polis turut memantau kehadiran warga Iran yang menetap di negara ini bagi memastikan tiada sebarang ancaman terhadap keselamatan negara.
“Untuk makluman, terdapat kira-kira 2,500 warga Iran yang menetap di negara ini dan kita sentiasa memantau keadaan tersebut bagi memastikan keselamatan negara berada dalam keadaan baik serta terkawal,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai seorang suspek warga Bangladesh yang sebelum ini ditahan di negara ini Mohd Khalid berkata individu berkenaan telah diekstradisi ke AS atas permintaan kerajaan negara tersebut kerana dakwaan menjalankan rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak antarabangsa.
“Individu itu memang telah ditahan sebelum ini dan kesnya masih melalui proses perbicaraan di mahkamah kita namun suspek berkenaan telah diekstradisi oleh kerajaan kita ke AS atas permintaan kerajaan negara itu,” ujarnya.
Menurut dokumen mahkamah, pada Julai 2022, Zobaidul Amin, 28, didakwa oleh Juri Persekutuan di Alaska dengan pertuduhan berkaitan penyalahgunaan dan eksploitasi ratusan mangsa kanak-kanak di Alaska, serta di seluruh AS dan luar negara.
Amin sebelum ini menetap dan mengikuti pengajian perubatan di Malaysia sebelum didakwa. Beliau dipindahkan dari Malaysia ke Alaska oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), semalam. -MalaysiaGazette
















