Ahli Dewan Negara, RA Lingeshwaran

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) digesa mempercepatkan proses pelantikan tetap Pegawai Farmasi kontrak bagi mengelakkan lebih ramai tenaga mahir meninggalkan sektor kesihatan awam.

Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran berkata, isu berkenaan semakin membimbangkan berdasarkan statistik yang didedahkan melalui jawapan lisan di Dewan Negara baru-baru ini.

Menurutnya, sehingga 31 Disember 2025, seramai 352 calon simpanan Pegawai Farmasi masih menunggu tawaran pelantikan tetap daripada KKM.

Namun daripada jumlah tersebut, seramai 209 orang atau kira-kira 60 peratus sudah tidak lagi berkhidmat dengan kementerian berkenaan manakala hanya 143 orang masih kekal dalam perkhidmatan.

“Angka ini jelas menunjukkan berlakunya penghijrahan bakat atau brain drain yang serius ke sektor swasta akibat ketidakpastian masa depan dalam perkhidmatan awam.

“Kita tidak boleh membiarkan kepakaran terlatih dengan kos yang besar hilang begitu sahaja hanya disebabkan kelewatan proses pelantikan atau kerenah birokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lingeshwaran berkata, jika langkah segera tidak diambil untuk menyerap baki 143 Pegawai Farmasi yang masih menunggu ke jawatan tetap, KKM berisiko kehilangan lebih banyak tenaga kerja mahir dalam tempoh terdekat.

Ujarnya, pegawai farmasi memainkan peranan yang amat penting dalam ekosistem perkhidmatan kesihatan negara, bukan sahaja sebagai penyedia ubat-ubatan tetapi dalam memastikan keselamatan pengubatan dan pengurusan farmasi yang cekap.

Jelas beliau, mereka juga bertanggungjawab memberi khidmat nasihat klinikal kepada pesakit dan doktor serta membantu memastikan penggunaan ubat-ubatan yang selamat dan berkesan.

“Kehilangan pegawai farmasi yang berpengalaman bukan sahaja memberi kesan kepada operasi hospital dan klinik kerajaan, malah boleh menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun KKM menyatakan komitmen untuk melaksanakan pengambilan secara berfasa melalui kerjasama dengan agensi pusat, proses berkenaan perlu dipercepatkan.

Katanya, model menunggu kekosongan jawatan sebelum membuat pelantikan tidak lagi sesuai sekiranya ia menyebabkan tenaga mahir memilih untuk berhijrah ke sektor swasta.

Sehubungan itu, Lingeshwaran menggesa KKM meneliti semula mekanisme pelantikan supaya lebih proaktif dan efisien bagi memastikan masalah sama tidak berulang pada masa depan.

Beliau juga meminta kerajaan memberikan jaminan masa depan yang lebih jelas kepada 143 Pegawai Farmasi kontrak yang dijangka menamatkan kontrak mereka pada April 2026.

“Langkah ini penting bagi memastikan mereka terus kekal berkhidmat dalam sektor kesihatan awam dan tidak terpaksa mencari peluang di tempat lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast