KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jumlah geran Persekutuan kepada kerajaan negeri dijangka meningkat kepada RM10.5 bilion pada tahun 2026.
Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan komitmen memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri selain memastikan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negara.
Menurut Sivamalar, jumlah tersebut juga menunjukkan peningkatan berterusan dalam sokongan kewangan kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Peruntukan geran kepada negeri meningkat daripada RM8.1 bilion pada tahun 2022 kepada RM10.3 bilion pada tahun 2025 dan dijangka mencecah RM10.5 bilion pada tahun 2026.
“Ini jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan Madani untuk memastikan negeri-negeri mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi melaksanakan pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambung beliau, antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan peruntukan tersebut ialah semakan kadar Geran Per Kapita yang kali terakhir disemak pada tahun 2002.
Katanya, semakan itu penting bagi memastikan formula pengagihan geran lebih relevan dengan keadaan semasa, khususnya mengambil kira pertambahan penduduk serta peningkatan keperluan pentadbiran dan pembangunan di peringkat negeri.
Dalam masa sama, Sivamalar berkata, keputusan kerajaan menyalurkan 100 peratus hasil cukai pelancongan kepada negeri juga merupakan langkah yang tepat.
“Sebelum ini hanya 50 peratus hasil cukai pelancongan disalurkan kepada negeri, namun keputusan untuk menyalurkan sepenuhnya kepada negeri akan membantu mereka memperkukuh sektor pelancongan.
“Langkah ini juga amat penting ketika negara bersiap sedia menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 termasuk dalam usaha meningkatkan promosi pelancongan serta memperbaiki kemudahan di destinasi pelancongan,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan keputusan kerajaan memperluaskan skop Geran Penyelenggaraan Jalan Negeri sebagai langkah yang memberi manfaat besar kepada pembangunan infrastruktur di peringkat negeri.
Menurutnya, geran tersebut kini turut meliputi kerja penambahbaikan sistem saliran serta perolehan jambatan modular seperti jambatan Bailey bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan jaringan perhubungan.
Sivamalar berkata, langkah-langkah yang diumumkan kerajaan itu menunjukkan usaha berterusan untuk memastikan pembangunan dapat dinikmati secara lebih seimbang oleh semua negeri tanpa mengira perbezaan politik. – MalaysiaGazette















