KUALA LUMPUR – Polis menyiasat kes meletakkan kepala babi di hadapan sebuah rumah di Kuala Pilah dan kedai di Tampin, Negeri Sembilan semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kes berkenaan ada kaitan dengan ahlong dan bukan bertujuan menimbulkan kebencian terhadap agama.
“Mangsa dalam kejadian merupakan dua lelaki Melayu yang ada pertalian antara satu sama lain.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua kejadian berlaku pukul 1 pagi itu mempunyai kaitan dan bermotifkan masalah peribadi antara mangsa dengan suspek disyaki pemberi wang tidak berlesen,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Alzafny, perbuatan itu dibuat bagi memberi tekanan kepada mangsa untuk melunaskan hutang dipercayai daripada ahlong yang sama melakukan simbah cat di kedai yang sama sebelum ini.
Kedua-dua kes disiasat di Bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan bagi membangkit pecah keamanan dan Seksyen 506 kanun yang sama iaitu ugutan jenayah.
Justeru polis memohon sesiapa sahaja yang ada maklumat mengenai kejadian membantu pihaknya menjalankan siasatan dan jangan mengeluarkan kenyataan yang boleh menganggu kententeraman awam. – MalaysiaGazette
















