KUALA LUMPUR – Siapa sangka hanya dengan membeli sepasang baju kurung sempena sambutan Aidilfitri, tuah menjadi milik Nurul Aqilah Radzuan, 33, apabila memenangi hadiah berjumlah RM200,000 menerusi kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya powered by AFFIN.
Ia selepas suri rumah yang berasal dari Taiping, Perak itu dinobatkan sebagai antara penerima hadiah utama dalam ‘AFFIN Dream Box’ yang mendapat kerjasama strategik daripada Affin Islamic Bank Berhad.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia pada awalnya seperti tidak percaya dengan keputusan pemenang yang terpapar selepas mengimbas kod QR pada bungkusan pakaian yang dibelinya secara dalam talian.
“Saya membeli baju kurung itu sebab tertarik dengan promosi percuma tumbler dan selepas itu, saya imbas kod QR pembelian dan terpandang angka yang banyak kosong di belakang.
“Saya ingatkan RM200 sahaja tetapi apabila melihat jumlah sebenar, saya terus mengambil tangkapan skrin dan hantar kepada suami untuk pengesahan.
“Saya masih dalam keadaan tidak percaya sehingga pihak Bulan Bintang menghubungi saya,” katanya semasa majlis penyerahan hadiah itu di sini semalam.
Nurul Aqilah menyifatkan kejayaan sebagai rezeki Ramadan yang sangat bermakna buat keluarganya dan beliau berhasrat menggunakan wang tersebut untuk keperluan masa depan serta impian yang selama ini terpendam.
Sementara itu, pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi berkata, mekanisme kempen ini sangat mudah di mana pelanggan hanya perlu membeli mana-mana barangan serendah RM109 dan mengimbas kod QR di mana keputusan keluar secara terus.
Katanya, selain RM200,000, terdapat juga hadiah ‘Dream Box’ bernilai RM100,000, RM10,000, RM5,000 serta beberapa buah kereta dan motor di mana pembli boleh melihat senarai penuh hadiah menerusi aplikasi Bulan Bintang.
“Kami tidak mahu pelanggan menunggu lama atau perlu melalui proses cabutan yang rumit dan inilah kekuatan kempen ini, biar pelanggan sendiri merasai pengalaman menang secara terus tanpa perlu keraguan,” jelasnya.
Azzim menamabah onsep ‘Dream Box’ diperkenalkan sebagai langkah inovatif bagi mengelakkan perbandingan hadiah fizikal yang sering membelenggu dirinya setiap tahun.
“Jadi, idea ‘Dream Box’ ini timbul supaya pemenang boleh menentukan sendiri impian atau kemahuan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















