KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sekali lagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan menumbuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan Mafia Korporat dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gabungan itu dalam kenyataannya berkata, panel bebas atau RCI tersebut perlu diketuai oleh tokoh terkemuka yang dihormati serta bebas daripada keahlian menteri, penjawat awam dan Peguam Negara untuk menyiasat kesemua tuduhan tertunggak terhadap SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

“BERSIH dan rakan-rakan daripada kumpulan masyarakat sivil (CSO) sebelum ini telah pun mengkritik jawatankuasa ini yang hanya memfokuskan kepada pemilikan saham Azam Baki dan seolah-olah sengaja menutup mata tentang skandal yang lebih besar melibatkan mafia korporat.

“BERSIH dan rakan-rakan CSO sebelum ini juga mempersoalkan keterlibatan Peguam Negara untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut memandangkan beliau terlibat secara langsung dalam menarik semula pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang telah pun dibuktikan ada prima facie.

“Jika begini situasi dan individu yang akan mengetuai siasatan terhadap Azam Baki, bagaimanakah Anwar Ibrahim boleh mendapatkan kepercayaan rakyat terhadap ketulusan dan ketelusan siasatan ini?

“Malah kami juga ingin bertanya, jawatankuasa ini akan bertanggungjawab kepada siapa selepas siasatan ini selesai? Adakah kepada beliau sendiri yang sudah menyambung kontrak Azam Baki sebanyak tiga kali sebelum ini walhal beliau sendiri yang mengkritik keras Azam Baki pada tahun 2022?,” kata kenyataan itu.

BERSIH turut mendesak agar Azam meletakkan jawatan dengan segera kerana kehadiran dan kewujudan beliau di dalam SPRM mempunyai konflik kepentingan yang sangat besar terhadap siasatan yang sedang berjalan.

Oleh itu, tidak wajar kredibiliti SPRM terheret bersama beliau, katanya.

BERSIH turut mendesak Anwar dan kerajaan mewujudkan satu pelan reformasi yang menyeluruh khususnya berkaitan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang bebas daripada campur tangan Eksekutif namun tertakluk kepada semakan Parlimen dan menjamin pelaksanaan kuasa dan tugas SPRM adalah telus serta bertanggungjawab kepada Parlimen.

Katanya, perkara itu pernah dinyatakan dalam manifesto PRU sebelum ini.

“Ini bukanlah isu yang baharu kali pertama berbangkit. Jika Kerajaan Madani, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal menangani isu Azam Baki, mafia korporat dan reformasi SPRM ini, dikhuatiri kepercayaan rakyat terhadap usaha-usaha reformasi dan melawan rasuah akan terus terhakis dan runtuh.

“Anwar tidak boleh salahkan BERSIH atas kegagalan kerajaan untuk melaksanakan reformasi melawan rasuah ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast