Antara lima individu termasuk wanita tempatan ditahan terlibat kegiatan judi atas talian. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk seorang wanita tempatan ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian atas talian di dua premis di sekitar Bukit Jalil di sini, semalam.

Serbuan sekitar jam 1 petang itu dijalankan oleh Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama dilaksanakan di sebuah premis pejabat di sekitar Bukit Jalil dengan menahan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun.

“Penahanan suspek kemudian membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah kondominium berhampiran dana menahan, empat warga China.

“Kesemuanya terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun yang sedang mengurus laman web perjudian turut ditahan.

“Siasatan mendapati, kesemua suspek berperanan sebagai ejen yang mengurus, menganjur serta mempromosikan kegiatan perjudian atas talian dengan menyasarkan pelanggan dari China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sindiket itu dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dengan menyewa premis tersebut kira-kira RM2,000 sebulan sebagai tempat operasi.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua warga China yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas pelancong.

“Kesemua suspek telah direman selama tiga hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Tegas beliau, Kontinjen KL melalui Bahagian D7 akan mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan perjudian haram di ibu negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast