KUALA LUMPUR – Ikhtisas Kelautan Malaysia (Ikmal) mengecam serangan rambang terhadap kapal dagang di sekitar Selat Hormuz sejak beberapa hari lalu susulan konflik semasa di Asia Barat.

Presidennya, Kapten Abdul Aziz Abdullah berkata, sebagai sebuah persatuan yang turut mewakili para pelaut yang berkhidmat di atas kapal dagang, Ikmal merayu pihak atau pihak-pihak yang terlibat supaya segera menghentikan serangan berkenaan.

Menurutnya, para pelaut di atas kapal dagang hanya ingin mencari rezeki yang halal dengan membantu mengangkut barangan dari satu pelabuhan ke pelabuhan yang lain dengan selamat.

Jelasnya, tiada seorang pun pelaut berkenaan yang terlibat dalam sebarang kegiatan keganasan mahupun mempunyai niat permusuhan terhadap mana-mana pihak.

“Menyasarkan kapal yang mereka naiki serta mengancam nyawa mereka adalah suatu tindakan yang tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan atau alasan.

“Ia adalah perbuatan yang amat keji dan zalim!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kebanyakan pelaut itu mempunyai keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada wang yang dihantar pulang untuk kelangsungan hidup harian.

Ujarnya, apabila kapal mereka diserang dan dilumpuhkan, malah dalam sesetengah kes menyebabkan kematian serta kecederaan terhadap para pelaut, ia menimbulkan penderitaan yang tidak terhingga kepada mereka dan keluarga yang menanti di tanah air.

“Tiada alasan undang-undang mahupun pertimbangan moral yang boleh membenarkan perbuatan kejam sebegini.

“Ia pada hakikatnya hanyalah `pembunuhan atau mencederakan pelaut tidak bersalah’ semata-mata kerana pihak lain memutuskan untuk menyerang negara dari mana datangnya peluru berpandu tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, tambahnya, Ikmal merayu semua negara serta organisasi maritim antarabangsa agar melakukan segala yang termampu untuk memujuk semua pihak menghentikan serangan terhadap kapal dagang oleh mana-mana pihak.

“Dengan itu, para pelaut di atas kapal dapat meneruskan tugas mereka seperti yang diamanahkan, iaitu membawa kargo dengan selamat,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 10 kapal tangki minyak diserang peluru berpandu di Selat Hormuz, memetik Timbalan Komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Mohammad Akbarzadeh.

“Memandangkan amaran berulang-ulang Tentera Laut IRGC bahawa Selat Hormuz tidak selamat, lebih daripada 10 kapal tangki minyak yang mengabaikan amaran itu telah terkena pelbagai jenis peluru berpandu dan terbakar,” kata Akbarzadeh.

Beliau berkata, selepas Iran mengumumkan larangan melalui Selat Hormuz, pergerakan kapal minyak, komersial dan nelayan melalui selat itu adalah mustahil.

Pada masa ini, Akbarzadeh berkata, Selat Hormuz berada di bawah kawalan penuh Tentera Laut IRGC. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast