Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Konflik geopolitik di Asia Barat khususnya selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, berpotensi memberi kesan kepada ekonomi negara terutama melalui kenaikan harga minyak dunia dan perbelanjaan subsidi kerajaan.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan terbuka berdepan risiko gangguan terhadap rantaian bekalan global sekiranya konflik tersebut terus berlarutan.

“Kalau kita melihat profil perdagangan negara kita, sebanyak 45 peratus eksport dijalankan melalui pengangkutan laut manakala lebih kurang 40 peratus dijalankan melalui pengangkutan udara. Bagi import pula, sebanyak 50 peratus melalui pengangkutan laut dan 37 peratus melalui penangkutan udara.

“Kedua, peningkatan dalam harga minyak mentah dunia juga menjadi kebimbangan apabila kita perhatikan harga minyak melonjak tinggi iaitu AS$92 (RM363) setong, dan angka ini sudah melebihi andaian yang dibuat kerajaan ketika membentangkan Belanjawan 2026 iaitu sekitar A$60 hingga AS$65 setong,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Penganalisis Ekonomi, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid bergambar selepas selesai sesi temubual ekslusif bersama wartawan Malaysiagazette di The Third Letter (TTL), Bukit Jelutong, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 22 MEI 2025.

Tambah beliau, keadaan tersebut mungkin memerlukan kerajaan untuk menilai semula struktur subsidi bahan api khususnya RON95 kepada rakyat bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.

Bagaimanapun, jelasnya, dengan penggunakan sistem MyKad ketika ini, rakyat masih boleh menikmati susbdi yang sama iaitu RM1.99 seliter secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang serta pendapatan mereka.

“Jika kerajaan ingin mengekalkan subsidi kepada semua rakyat tanpa sebarang perubahan, peruntukan yang lebih besar perlu disediakan sekali gus berpotensi menjejaskan sasaran defisit fiskal negara sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sehubungan itu, pendekatan penyasaran subsidi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana boleh menjadi langkah yang lebih berkesan berbanding pemberian subsidi secara menyeluruh,” ujarnya.

Mohd Afzanizam menambah, kenaikan harga minyak mentah boleh memberi tekanan kepada kadar inflasi sekiranya konflik di Asia Barat terus berpanjangan selain menjejaskan aktiviti eksport dan import negara.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan juga digesa memantau aktivti perniagaan bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah dengan alasan kenaikan kos bahan api.

Ditanya mengenai kedudukan mata wang negara pula, beliau berkata, ringgit masih berada pada tahap yang agak kukuh ketika ini apabila ditutup sekitar RM3.95 semalam berbanding dolar AS.

“Kalau kita lihat mata wang ringgit berbanding dolar AS pada tempoh sama tahun lalu (Mac 2025) bergerak sekitar RM4.40 hingga RM4.46, maksudnya angka dolar dan ringgit buat masa ini masih lagi dalam nilai yang kukuh.

“Ini kerana kuasa beli Malaysia untuk mengimport masih lagi kukuh berbanding tahun lalu, sepatutnya kita masih lagi berupaya untuk mengimport dengan kadar dan jumlah yang lebih baik disebabkan kuasa beli yang meningkat, hasil daripada pengukuhan ringgit,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan perkembangan geopolitik semasa sebaliknya terus cakna dengan mengikuti maklumat sahih serta membuat perancangan kewangan yang lebih berhemah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast